Pegawai Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Inspektor Nitas Camillus bersedia untuk menyambut pendaratan dron selepas membuat pemantauan udara di Bazar Ramadan Desa Pandan pada 4 Mei 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aidilfitri: Polis guna dron pantau pematuhan SOP kawasan perumahan

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan dron bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di kawasan-kawasan perumahan sempena Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman SAC M.V Sri Kumar berkata penggunaan dron terbabit bertujuan memastikan tiada sebarang pelanggaran SOP dikesan.

“Seperti diketahui rondaan polis akan dilakukan di setiap kawasan perumahan yang ada, jadi polis turut menggunakan pendekatan dikendalikan unit kawalan udara PDRM ini.

Penggunaannya bagaimanapun adalah tertakluk kepada permintaan setiap Ketua Polis Daerah di sesebuah negeri untuk mengaplikasikan penggunaan dron bagi membuat pemantauan di kawasan perumahan dikehendaki,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata bagi kawasan perumahan seperti apartmen dan sebagainya, polis akan membuat semakan ke atas setiap buku pelawat di premis terbabit.

“PDRM bertindak demikian supaya tiada yang didapati melanggar SOP berkunjung ke sesebuah rumah seperti mana diarahkan kerajaan. Ia merupakan antara bukti yang boleh digunakan bagi menandakan sebarang bentuk kehadiran orang awam di sesebuah premis seperti itu.

Bagi tujuan itu juga orang ramai dalam masa sama dinasihatkan melaporkan sebarang pelanggaran SOP semasa perayaan Aidilfitri dilakukan di kawasan kejiranan mereka kepada pihak polis,” katanya.

Ditanya mengenai kawalan sekatan jalan raya (SJR) di kawasan menghubungkan sempadan daerah dan negeri, Sri Kumar berkata ianya tidak terkecuali berikutan pemeriksaan akan turut diadakan terutama di laluan tikus.

“Jika di kawasan bandar, SJR dilaksanakan di pelbagai tempat namun ia tidak terkecuali di kawasan seperti luar bandar.

“Bermula di peringkat kontinjen sehinggalah pondok polis, setiap pegawai dan anggota dikerahkan bertugas dan memastikan setiap laluan tikus terbabit dibuat pemeriksaan ketat,” katanya.

Beliau berkata tindakan mengarahkan orang awam supaya berpatah balik kerana tidak mempunyai sebarang dokumen lengkap untuk merentas daerah dan sebagainya akan dilakukan manakala sebarang pelanggaran SOP akan dikenakan kompaun.

Jelas beliau, tindakan dilakukan pihak polis itu bukanlah bertujuan menekan orang awam sebaliknya bertujuan untuk menguatkuasakan peraturan ditetapkan.

– BERNAMA


Pengarang :