Najwa Latif mengadakan persembahan sewaktu rakaman Senandung Aidilfitri yang akan disiarkan melalui platform Media Selangor. Foto Megaday Media Sdn Bhd
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Aishah, Najwa Latif meriahi Senandung Aidilfitri #KitaSelangor malam esok

SHAH ALAM, 13 MEI: Orang ramai dijemput menyaksikan program hiburan secara dalam talian Senandung Aidilfitri #KitaSelangor yang dijayakan artis terkenal esok.

Bersiaran jam 9 malam, program itu menampilkan Aisyah, Najwa Latif, Siti Nordiana, Bunkface, Roy, Azmi Caliph Busker dan Ahmad Yassin yang memiliki suara mirip Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Selebriti Salleh Yaacob, Raja Azura dan Ropie Cecupak bergandingan sebagai pengacara dalam program yang dipancar melalui saluran selangortv.my dan Youtube carian SelangorTV.

Selain itu, Che Puan Juliana Evans turut tampil melakonkan sketsa nasib golongan berpendapatan rendah yang menerima Inisiatif Peduli Rakyat.

Rakaman takbir raya melibatkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO dan pegawai kanan kerajaan di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor. Foto ihsan Gaya Travel Magazine

Malam tadi, rakaman takbir raya di puncak lokasi bersejarah Bukit Malawati, Kuala Selangor turut disiar melalui wadah sama mulai azan maghrib pada jam 7.20 pada hari terakhir Ramadan hingga pagi tadi.

Bagi memberi kesan unik, satu unit dron dan tiga kamera digunakan dalam rakaman takbir yang dipimpin Imam Masjid Negeri Abdul Karim Omar dan disertai Dato’ Menteri Besar, barisan EXCO serta pegawai kanan kerajaan.

Rakaman antara 3 hingga 10 April dijalankan di beberapa lokasi di Sepang, Gombak dan Kuala Selangor. Penerbit eksekutif Megaday Sdn Bhd Azhar Sulaiman bertanggungjawab menjayakan keseluruhan rakaman.

Program anjuran Kerajaan Selangor dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (Padat), Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Gaya Travel diulang siar melalui Facebook Media Selangor jam 3 petang pada 3 Syawal.


Pengarang :