Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Iftar Perdana KEADILAN Negeri Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar gesa KEADILAN Selangor perkukuh jentera, pimpin negeri lain

SHAH ALAM, 2 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor memperkukuh jentera parti agar mampu menjadi pimpinan kepada negeri lain.

Presiden KEADILAN berkata perkara yang harus diberi tumpuan ketika ini adalah memperkuat jentera parti berbanding memikirkan soal calon untuk bertanding.

“Selangor mesti menjadi pimpinan dengan harapan membantu negeri lain. Tahniah kepada saudara Amir (Dato’ Seri Amirudin Shari) kerana memberi jaminan untuk membantu keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada program iftar perdana KEADILAN Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Sementara itu, Anwar meminta ahlinya bergerak sebagai sebuah parti dengan mempertahankan nilai murni dan akhlak bagi mengelak terjerumus dalam sebarang salah laku.

“Pengalaman kita yang lalu, kita keluarkan pimpinan yang mula bersekongkol dengan kompromi rasuah…menggunakan kuasa untuk memperkayakan diri.

“…dan sebahagian daripada kita terperangkap kerana terpukau dengan habuan diberi tanpa mempersoalkan bahawa parti ini ditegakkan dari awal untuk menolak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Itu pengajaran yang harus diperbetulkan,” katanya.

Ketua pembangkang turut memaklumkan sistem pemerintahan negara ketika ini sangat lemah sehingga pelbagai kesilapan besar membabitkan salah guna kuasa berjaya dibongkarkan.

“Sistem kita (pemerintahan) sudah rosak. Jadi, kita mampu di peringkat sekarang perkuat jentera selain menggesa dan mendesak.

“Kita yakin bahawa negara ini hanya akan selamat dengan pimpinan beretika dan berwibawa. Insya-Allah, KEADILAN akan tampil sebagai kekuatan raksasa,” katanya.


Pengarang :