AGENSISELANGOR

Aplikasi Air Selangor diiktiraf antarabangsa, mudahkan urusan pengguna

SHAH ALAM, 11 MEI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapat pengiktirafan daripada Singapore Business Review susulan kejayaan mencipta aplikasi yang memudahkan urusan pengguna.

Agensi berkata pihaknya berjaya memenangi Malaysia Technology Excellence Awards 2021 bagi kategori ‘mobile utilities’ melalui pembangunan aplikasi Air Selangor dan Mudah Alih Operasi (OMA).

“Pada tahun lalu, lebih 1.78 juta pengguna memuat turun aplikasi Air Selangor menerusi Google Play Store, Apple App Store dan Huawei Gallery.

“Pengguna dapat menikmati kemudahan tersebut untuk merujuk bil air bulanan, membuat pembayaran secara dalam talian dan perkhidmatan pelanggan,” katanya menerusi kenyataan.

Agensi menjelaskan OMA juga dibina untuk kegunaan petugas membuat laporan di tapak dan menyelesaikan semua masalah di lapangan dengan pantas.

Menurutnya, penggunaan aplikasi itu juga membolehkan operasi Air Selangor berjalan lancar di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Terima kasih pengguna yang sentiasa menyokong dan kami berusaha memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.


Pengarang :