Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Negara kekal OPR pada 1.75 peratus

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi mesyuarat ketiga Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Dalam kenyataannya, bank pusat itu berkata MPC turut menganggap pendirian mengenai dasar monetari berkenaan sebagai wajar dan akomodotif.

“Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari pada masa depan akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negara,” kata bank pusat itu.

Selain itu, BNM menegaskan akan terus komited untuk menggunakan mekanisme-mekanisme dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi secara berterusan.

Prospek pertumbuhan Malaysia juga terus bergantung pada risiko penurunan, didorong terutamanya oleh ketidakpastian berterusan berkaitan pandemik serta potensi cabaran yang boleh menjejaskan pemberian vaksin di peringkat global serta dalam negara.

Menurut bank pusat itu, penunjuk terkini menunjukkan kegiatan ekonomi negara terus bertambah baik pada suku pertama dan sehingga April lepas.

“Walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di lokasi terpilih baru-baru ini akan menjejaskan kegiatan ekonomi dalam jangka pendek, kesannya kurang serius memandangkan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi,” katanya.

Trajektori pertumbuhan juga diunjur meningkat, didorong oleh pemulihan lebih kukuh bagi permintaan global serta peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan langkah-langkah dasar yang berterusan, kata BNM.

“Pertumbuhan juga akan disokong oleh peningkatan pengeluaran fasiliti perkilangan sedia ada dan baharu, terutamanya dalam subsektor elektrik dan elektronik dan subsektor berkaitan sumber serta loji pengeluaran minyak dan gas,” katanya.

BNM juga menyifatkan kemajuan program pemberian vaksin Covid-19 dalam negara juga akan meningkatkan sentimen selain menyumbang ke arah pemulihan kegiatan ekonomi.

Dalam pada itu, pemulihan ekonomi global terus kukuh terutamanya di ekonomi (negara) utama, disokong oleh peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan biarpun pada kadar yang mungkin berbeza di setiap negara.

BNM berkata, program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan, langkah-langkah rangsangan fiskal besar di Amerika Syarikat serta sokongan dasar di ekonomi utama lain akan terus membantu meningkatkan keadaan permintaan dalam negara.

Menurutnya, trajektori pemulihan di beberapa negara juga berkemungkinan terganggu oleh langkah-langkah pembendungan yang diperketat semula dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Namun, kata BNM, ketidaktentuan dalam pasaran kewangan baru-baru ini juga telah reda sedikit dengan keadaan kewangan yang terus menyokong pertumbuhan.

“Imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan juga terus cenderung ke arah pertumbuhan lebih perlahan, terutamanya akibat ketidakpastian membabitkan perkembangan pandemik dan potensi risiko turun naik pasaran kewangan yang ketara,” katanya.

Bank pusat itu berkata, purata inflasi keseluruhan pada 2021 diunjurkan lebih tinggi antara 2.5 peratus hingga 4.0 peratus, terutamanya disebabkan oleh faktor tolakan kos susulan peningkatan harga minyak dunia.

“Dari segi trakjektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua 2021 berikutan asas lebih rendah daripada harga bahan api runcit dalam negara yang susut pada suku sama 2020.

“Namun, keadaan ini bersifat sementara kerana inflasi keseluruhan diunjurkan menyederhana selepas itu apabila kesan asas ini berakhir,” katanya.

Selain itu, BNM berkata inflasi asas yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah dengan purata antara 0.5 peratus hingga 1.5 peratus tahun ini ketika keadaan lebihan kapasiti berterusan dalam ekonomi.

“Prospek ini bagaimanapun akan bergantung kepada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi,” kata bank pusat itu.

– BERNAMA

 


Pengarang :