Ahli Kumpulan Penasihat Rangka Kerja Kesiapsiagaan Pandemik Influenza WHO Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman
AGENDANASIONAL

Bantuan makanan jika PKP penuh, tingkat saringan kesan kes tiada gejala

SHAH ALAM, 20 MEI: Bantuan makanan kepada golongan terkesan mesti diberikan sekiranya mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh.

Cadangan dikemukakan Ahli Kumpulan Penasihat Rangka Kerja Kesiapsiagaan Pandemik Influenza Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata pasukan bantuan makanan perlu diwujudkan untuk meyakinkan rakyat bekalan tidak terputus sepanjang PKP.

Pakar kesihatan awam itu turut mencadangkan penggunaan ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) di klinik kerajaan serta memberi subsidi kepada klinik swasta di Lembah Klang untuk menjalankan saringan.

“Ujian komuniti berfokus atau secara beramai-ramai perlu dipertingkatkan untuk mengesan kes tiada gejala,” kata bekas timbalan ketua pengarah (kesihatan awam) Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Facebook pada 18 Mei.

Tambah Dr Lokman Hakim, Program Suntikan Vaksin Covid-19 Negara perlu dipinda kerana tiga perempat kes berlaku di Lembah Klang.

“Keupayaan barisan hadapan juga perlu dipertingkatkan tiga kali ganda khususnya di Lembah Klang dan bandar utama lain untuk mengelak kesihatan awam lumpuh.

“Justeru kerajaan persekutuan perlu menyediakan pelan jangka panjang kawalan Covid-19 yang mungkin berlanjutan,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan PKP penuh dalam bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dato’ Seri Amirudin Shari bersedia menuruti arahan sedemikian namun menegaskan pertimbangan menyeluruh kepada aspek lain termasuk kesihatan mental serta kehilangan pendapatan.

Beliau menegaskan nyawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan berbanding penjanaan ekonomi tetapi PKP harus diiringi pertimbangan lain demi manfaat semua pihak.


Pengarang :