Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bapa terpaksa dipujuk anak sebelum buat saringan Covid-19

SHAH ALAM, 29 MEI: Seorang bapa terpaksa dipujuk sebelum bersetuju menjalani saringan Covid-19 di Dewan Alamanda, Seksyen 20 di sini semalam.

Rosli Othman, 64, berkata anaknya Ariff Adha bertindak begitu kerana dia berasa takut dan tidak pernah merasai pengalaman tersebut sebelum ini.

“Walaupun tiada gejala tetapi saya dinasihatkan untuk buat saringan dengan alasan peningkatan kes Covid-19 dan golongan berusia mudah dijangkiti.

“Pada awalnya saya menolak tetapi akhirnya berubah fikiran kerana alasan diberi ada kebenaranya,” katanya yang hadir bersama enam ahli keluarga.

Rosli Othman. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Rosli berkata anaknya seorang jurutera berusia 28 tahun menguruskan sendiri proses pendaftaran awal dalam talian untuk menyertai program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri.

“Saya dan isteri diberi keutamaan untuk disaring dengan melalui lorong khas kerana dikategori golongan berisiko. Alhamdulillah, proses berjalan lancar,” katanya berharap segera mendapat suntikan vaksin.

Sementara itu, Norhaizura Jailani, 38, menempah slot janji temu menyertai ujian melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sejak minggu lalu kerana enggan menunggu saat akhir.

“Saya mendapat maklumat menerusi Facebook Media Selangor dan terus maklumkan kepada suami serta anak-anak sebelum daftar.

Noor Airennatasha Jailani. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Walaupun masih kecil tetapi mereka (anak-anak) pun peka dengan keadaan semasa Covid-19 dan tidak kisah kami bawa jalani saringan,” kata pekerja syarikat pengeluar produk penapis air yang menetap di Seksyen 19.

Seorang lagi peserta, Noor Airennatasha Jailani, 25, berkata program percuma itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan kos di klinik swasta membebankan.

“Saya pertama kali jalani saringan selepas melihat iklan di Twitter dengan mengajak ibu dan dua adik. Lagipun kami mempunyai masa terluang serta tiada masalah untuk beratur walaupun prosesnya sekejap sahaja,” katanya.


Pengarang :