EXCO Kerajaan Negeri Dr Siti Mariah Mahmud (dua, kiri) dan Ir Izham Hashim (dua, kanan) meninjau proses saringan Covid-19 secara percuma di Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang pada 11 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bimbang jangkitan tanpa gejala, guru sekeluarga buat saringan

AMPANG, 11 MEI: Waspada situasi semasa penularan Covid-19 mendorong seorang guru untuk membuat saringan bagi mengesan jangkitan wabak.

Azura Wati Abdullah, 38 berkata lebih membimbangkan apabila kebanyakan pesakit tidak mempunyai sebarang gejala atau masalah kesihatan.

Pendidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya, Cheras itu antara ribuan yang menyertai ujian percuma di Dewan MPAJ Pandan Indah, semalam.

“Sebelum ini kes Covid-19 di sekolah agak serius tetapi sekarang semakin perlahan. Bagaimanapun, saya buat juga saringan ini demi melindungi diri dan keluarga.

Azura Wati Abdullah

“Tambahan pula banyak kes positif dikesan secara tiba-tiba sejak kebelakangan ini sedangkan individu terbabit tidak menunjukkan gejala,” katanya yang hadir bersama suami dan tiga anak.

Azura menambah saringan itu juga susulan anak keduanya yang berusia lapan tahun merupakan kontak rapat kepada salah seorang pesakit Covid-19.

“Kontak rapat tersebut merupakan rakan sekelas anak saya, jadi saya pujuk dia buat saringan ini bersama abang dan adiknya. Alhamdulillah, proses saringan mereka lancar,” katanya lagi.

Bagi Hong Yue Zhi, 31, kesedaran untuk melakukan saringan timbul berikutan peningkatan kes pandemik dalam negara yang mencecah empat angka setiap hari.

“Kita mahu kes Covid-19 negara ini kembali turun dan disebabkan itu saya datang buat saringan bagi memudahkan tindakan susulan diambil sekiranya didapati positif,” katanya.

Teoh Yok Eng

Sementara itu, Teoh Yok Eng, 58, berkata dia menjalani saringan sekadar untuk kepastian berikutan bimbang keselamatan diri.

“Pada awalnya saya kurang yakin untuk disaring memandangkan ini kali pertama, tetapi anak-anak beri galakan sehingga saya berjaya berbuat demikian,” katanya.

Seorang lagi peserta, Dania Safia Mohamad Affendi, 19, memilih melakukan saringan secara pandu lalu di lokasi sama tanpa perlu beratur panjang sekali gus menjimatkan masa.

“Saya bawa keluarga terdiri daripada datuk, emak dan tiga lagi adik-beradik untuk memastikan kami semua sihat serta bebas jangkitan,” katanya.

 


Pengarang :