AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia teruskan kerugian untuk dibuka lemah pagi ini

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Bursa Malaysia meneruskan kerugian yang dicatatkan semalam untuk dibuka lemah pagi ini dengan sentimen pelabur secara keseluruhan kekal berhati-hati menjelang pengumuman kadar dasar semalaman (OPR) lewat hari ini.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 5.13 mata kepada 1,570.54 daripada 1,575.67 pada penutupan urus niaga petang Rabu.

Indeks utama dibuka 3.58 lebih rendah pada 1,572.09.

Di pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi untung 321 berbanding 165 sementara 297 kaunter tidak berubah, 1,373 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 470.74 juta saham bernilai RM332.50 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pasaran secara meluas mungkin terus stabil berikutan kebimbangan mengenai peluasan perintah kawalan pergerakan (MCO 3.0) ke beberapa daerah di Johor, Perak dan Terengganu yang dijangka mengurangkan minat belian hari ini.

Katanya, pelabur akan turut memantau pengumuman OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM), yang mana ramai penganalisis menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar faedah pada 1.75 peratus pada mesyuarat ketiganya lewat hari ini.

“Selain itu, kerajaan telah melancarkan rangsangan Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion untuk membantu langganan pelan data dan pembelian peranti mudah alih.

“Bagi komoditi pula, harga minyak telah meningkat, didorong oleh permintaan bahan bakar yang lebih tinggi di tengah-tengah pelonggaran sekatan pergerakan di AS dan sebahagian Eropah pada musim panas,” tambahnya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan pelancaran Jaringan Prihatin dapat memberi sinar kepada sektor telekomunikasi.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.22, Public Bank turun satu sen kepada RM4.10 dan PetChem tidak berubah pada RM8.16.

Bagi saham aktif pula, Tanco menokok satu sen kepada 10 sen, KTG naik setengah sen kepada 22.5 sen, Dataprep meningkat 22 sen kepada RM2.17 dan Saudee lebih tinggi tiga sen kepada 22.5 sen.

Daripada kaunter untung, Widetech naik 32 sen kepada RM1.30, F&N dan KLK masing-masing menambah 16 sen kepada RM29.18 dan RM21.76.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 41.20 mata pada 11,563.64, Indeks FBM Emas Syariah susut 64.71 mata kepada 12,941.18, Indeks FBMT 100 merosot 38.96 mata kepada 11,217.44, FBM 70 menguncup 61.84 mata kepada 15,219.77 dan FBM ACE kehilangan 64.97 mata kepada 8,404.97.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.30 mata kepada 197.99, Indeks Perladangan naik 9.40 mata kepada 6,926.25 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 9.14 mata kepada 14,765.30.

– BERNAMA

 


Pengarang :