Sebahagian kanak-kanak Palestin yang ditempatkan di sebuah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melindungi mereka daripada menjadi korban perang di Kota Gaza pada 18 Mei 2021. Foto REUTERS
AGENSISELANGOR

Cadang wujud tabung khas pendidikan bantu anak Palestin

SHAH ALAM, 27 MEI: Kerajaan dicadang mewujudkan tabung bantuan pendidikan khusus bagi membantu anak Palestin yang tercicir dalam pelajaran susulan peperangan.

Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) berkata kekurangan dana antara faktor menyebabkan golongan itu tidak menerima pendidikan sebaiknya.

“Saya hormati usaha semua pihak termasuk badan bukan kerajaan melancarkan tabung memohon derma orang ramai bagi membantu mangsa kekejaman rejim Israel.

“Namun saya masih belum dengar pungutan derma membantu anak-anak Palestin untuk dibawa ke Malaysia bagi menyambung pengajian sama ada dalam perubatan, sains…Kami di Unisel sedia menerima,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Beliau berkata demikian pada Forum Peduli Palestin di Facebook malam tadi yang turut disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Media antarabangsa melaporkan angka kematian akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza yang berakhir minggu lalu mencecah 253 orang termasuk kanak-kanak dan wanita.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri memperkenalkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang menyasar kutipan RM1 juta untuk membantu penduduk Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor dan salurkan bantuan ke nombor akaun 8604747531 – Bendahari Negeri Selangor (CIMB ISLAMIC) dengan rujukan Palestin.


Pengarang :