AGENDANASIONAL

Covid-19: Mohon kebenaran sebelum masuk kampung Orang Asli

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Semua individu, kumpulan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) terlebih dahulu sebelum melaksanakan program khidmat masyarakat atau menghantar bantuan ke perkampungan Orang Asli.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu adalah selaras dengan Seksyen 14 dan Seksyen 15, Akta 134, Akta Orang Asli 1954.

Jelasnya, ia susulan terdapat beberapa individu dan NGO yang masuk ke perkampungan Orang Asli untuk melaksanakan program berbuka puasa dan menghantar bantuan tanpa kebenaran, malah ada yang datang dari kawasan zon merah Covid-19.

Abdul Rahman berkata selain melanggar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), perkara itu juga dikhuatiri membawa risiko penularan pandemik Covid-19 ke perkampungan Orang Asli.

“Justeru, Jakoa memohon agar semua individu, kumpulan dan NGO dapat akur dengan arahan ini lebih-lebih lagi ketika negara sedang mencatatkan rekod penularan pandemik Covid-19 yang tinggi,” katanya.

Jakoa turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin kerana berganding bahu dengan jabatan itu untuk membantu masyarakat Orang Asli dalam menyampaikan bantuan kebajikan, namun menekankan aspek keselamatan menjadi perkara utama perlu dititikberatkan.

-BERNAMA


Pengarang :