Bilangan pesakit Covid-19 dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi semakin bertambah setiap hari di Hospital Sungai Buloh. Foto Facebook Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Covid-19 ragut 47 nyawa lagi, tertinggi sejak pandemik menular

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Angka korban akibat Covid-19 di negara ini terus meningkat dengan 47 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam iaitu angka tertinggi pernah direkodkan setakat ini, sekali gus menjadikan kes kumulatif maut di Malaysia kini 1,994.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata majoriti kes dilaporkan di kawasan Lembah Klang dengan 22 kes melibatkan 18 di Selangor dan empat di Kuala Lumpur, diikuti masing-masing lima kes di Sarawak dan Pulau Pinang; Johor dan Kelantan masing-masing empat; Perak (tiga); Pahang (dua), serta masing-masing satu kes di Kedah dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata kes kematian itu melibatkan 46 warganegara dan seorang bukan warganegara dalam lingkungan umur antara 41 hingga 94 tahun dengan majoriti individu menghidap penyakit kronik.

Sementara itu, dalam tempoh sama kes baharu Covid-19 turut meningkat apabila 4,865 kes direkodkan hari ini berbanding 4,446 kes semalam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 479,421 kes.

“Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,743 kes diikuti Sarawak (512) dan Kuala Lumpur (477),” katanya dalam satu kenyataan mengenai penularan Covid-19, hari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA

Dr Noor Hisham berkata Johor pula merekodkan 407 kes diikuti Kelantan (406), Kedah (244), Pulau Pinang (220), Perak (160), Terengganu (156), Pahang (152), Negeri Sembilan (149), Melaka (127), Putrajaya (sembilan), Labuan (enam) dan Perlis (dua).

Beliau berkata kes baharu melibatkan 4,860 kes penularan tempatan dan hanya lima kes import menjadikan kes aktif kini sebanyak 44,827.

Dalam pada itu, jumlah individu yang dirawat dalam Unit Rawat Rapi (ICU) setakat ini ialah seramai 531 kes dengan 277 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata terdapat 19 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan tujuh kluster di tempat kerja, lima kluster keagamaan dan empat kluster komuniti.

Bagi kluster pengajian tinggi, kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) serta kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah KPM, masing-masing dikesan dengan satu kluster baharu.

“Kluster di tempat kerja ialah Kluster Jalan Petaling Industri dan Kluster Jalan Besi Satu di Johor; Kluster Utarid Sembilan Belas dan Kluster Jalan Kampung Taib (Selangor); Kluster Dah Helang dan Kluster Dah Arked (Kedah) serta Kluster Bayan Lepas Innoplex di Pulau Pinang.

Kluster keagamaan melibatkan Kluster Jalan Bukit Mutiara di Johor; Kluster Jalan Helang Siput (Kuala Lumpur); Kluster Kampung Kemuning (Melaka); Kluster Jalan Batu Dua (Negeri Sembilan) dan Kluster Banggol (Terengganu),” katanya.

Kluster komuniti pula Kluster Hulu Spaoh dan Kluster Jelang di Sarawak; Kluster Seri Sutra (Perak) serta Kluster Jambu Bongkok (Terengganu) manakala Kluster Jalan Sri Putri Empat, Johor (kluster institusi pendidikan KPM); Kluster Gong Badak, Terengganu (kluster pendidikan tinggi) dan Kluster Jalan Lima Belas di Selangor serta Kuala lumpur adalah kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah KPM.

-BERNAMA


Pengarang :