Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ yang digunakan untuk mengesan jangkitan virus Covid-19 dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program saringan diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Covid-19: Tiga kluster baharu di Selangor

SHAH ALAM, 7 MEI: Tiga kluster baharu Covid-19 dilaporkan di Selangor hari ini dengan dua daripadanya membabitkan tempat kerja dan satu kluster komuniti.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Persiaran Perpaduan USJ membabitkan Petaling, Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

“Kes kluster ini dilapor positif bermula 27 April hasil saringan bersasar kakitangan sebuah pusat pentadbiran awam di Persiaran Perpaduan, USJ 5, Subang Jaya.

“Sehingga hari ini, seramai 137 individu disaring dan 43 kes positif dikesan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata kluster Jalan Nouvelle melibatkan Hulu Langat dan Petaling dengan kes diuji positif bermula kelmarin.

“Kes dikesan hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang di Taman Perindustrian Nouvelle, Balakong, Seri Kembangan.

“Sebanyak 21 kes dikesan dalam kluster ini daripada 43 individu yang disaring setakat ini,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan kluster Pulau Ketam membabitkan Klang, Petaling dan Sabak Bernam dengan kes indeks ke-411,696 dikesan positif pada 2 Mei hasil saringan individu bergejala.

Menurutnya, kluster itu berpunca daripada aktiviti sosial yang diadakan dari 23 hingga 25 April oleh komuniti di kawasan berkenaan.

“Seramai 154 individu disaring dengan 22 daripadanya positif wabak setakat ini,” katanya lagi.

Keseluruhannya, sebanyak 1,759 kluster dilaporkan dalam negara selepas pertambahan 19 kluster baharu hari ini, 1,334 kluster tamat dan 425 kluster aktif.


Pengarang :