Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Vietnam sahkan Sukan SEA berlangsung seperti dijadual

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Vietnam mengesahkan Sukan SEA Ke-31 akan berlangsung seperti dijadualkan dari 21 Nov hingga 2 Dis tahun ini di Hanoi, kata Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

MOM berkata Vietnam mengesahkan perkara itu semasa mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) secara maya semalam di tengah-tengah pandemik Covid-19 sementara Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang menyertainya juga mengemas kini keadaan pandemik di negara masing-masing.

“Mesyuarat itu kemudian menugaskan Jawatankuasa Perubatan SEAGF untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Ke-31 Vietnam 2021 untuk menubuhkan langkah dan protokol terperinci Covid-19 untuk dilaksanakan pada Sukan SEA nanti,” kata MOM menerusi satu kenyataan di Facebook, malam tadi.

MOM menyatakan Mesyuarat Chef-de-Mission akan diadakan pada 15 Jun secara dalam talian, sementara buku panduan teknikal untuk semua 40 sukan yang sedia untuk diedarkan pada hari yang sama.

Mesyuarat maya itu juga akan menyaksikan NOC Kemboja membentangkan satu laporan ringkas persiapan penganjuran Sukan SEA ke-32, yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 16 Mei 2023, di Phnom Penh, Kemboja.

Kemboja merancang untuk menganjurkan 30 hingga 35 sukan pada edisi ke-32 temasya sukan serantau itu.

“Pejabat SEAGF akan menjadi tuan rumah mesyuarat bulanan untuk mengemas kini ahli NOC SEAGF mengenai perkembangan terkini Covid-19 dan bagi menerima laporan kemajuan daripada Jawatankuasa Penganjur edisi Ke-31 Sukan SEA Vietnam 2021 dan edisi Ke-32 Sukan SEA Kemboja 2023,” kata MOM.

MOM diwakili Presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha Agung Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Datuk Dr SS Cheema dalam mesyuarat dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif SEAGF Datuk Seri Chaiyapak Siriwat.

-BERNAMA


Pengarang :