AGENDANASIONAL

Daftar nombor cukai pendapatan melalui e-Daftar mulai 18 Mei

PUTRAJAYA, 16 MEI: Pendaftaran nombor cukai pendapatan melalui perkhidmatan e-Daftar dan penetapan serta pertukaran prefix baharu bagi pembayar cukai individu daripada pendaftaran pembayar cukai Individu (SG dan OG) kepada prefix IG bermula 18 Mei ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata pendaftaran nombor cukai pendapatan bagi pembayar cukai kategori Koperasi (CS), Pertubuhan (F), Badan Amanah (TA), Unit Amanah/Amanah Harta Tanah (TC), Amanah Perniagaan (TN) dan Amanah Pelaburan Harta Tanah/Tabung Amanah Harta (TR) boleh dilakukan secara dalam talian melalui e-Daftar yang boleh dicapai menerusi pautan https://edaftar.hasil.gov.my/.

Sebagai rekod, katanya perkhidmatan e-Daftar pada ketika ini hanya terhad kepada SG dan OG, Syarikat (C), Perkongsian (D), Majikan (E) dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PT).

“Mulai 18 Mei 2021 juga LHDN akan melaksanakan penetapan prefix baharu bagi pembayar cukai individu iaitu daripada prefix SG dan OG kepada prefix IG. Proses penetapan prefix ini melibatkan dua fasa iaitu bagi fasa pertama ia akan dilaksanakan terhadap pembayar cukai individu yang baharu didaftarkan melalui sistem LHDN.

“Fasa kedua pula akan melibatkan pertukaran prefix bagi pembayar cukai individu yang sedia ada secara berperingkat mulai 18 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

LHDN berkata pertukaran prefix ini tidak akan melibatkan sebarang perubahan terhadap nombor cukai pendapatan individu sedia ada dan tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata bagi individu juga adalah kekal iaitu 30 April setiap tahun bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan dan 30 Jun setiap tahun bagi individu yang menjalankan perniagaan.

Katanya pertambahan kategori pembayar cukai yang boleh didaftarkan melalui perkhidmatan e-Daftar ini merupakan satu daripada inisiatif di bawah Transformasi Hasil (TH) sebagai usaha berterusan LHDN untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada pembayar cukai.

Penetapan dan pertukaran prefix SG dan OG kepada IG bagi pembayar cukai individu pula dapat memudahkan pengurusan pembayar cukai dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pembayar cukai individu.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/;.

– BERNAMA


Pengarang :