Foto Facebook Masjid Putra Putrajaya
AGENDANASIONAL

Dewan solat utama Masjid Putra ditutup untuk baik pulih

PUTRAJAYA, 18 MEI: Dewan Solat Utama dan Dewan Solat Wanita Masjid Putra akan ditutup mulai 30 Mei ini hingga 16 April 2022 bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf kubah utama oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, solat fardu berjemaah atau solat Jumaat masih diteruskan di Sahn Kanan Dewan Solat Utama dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

SOP tersebut menetapkan hanya 50 jemaah dibenarkan termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau bagi menunaikan solat fardu dan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 7 Jun ini.

“Jakim memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi semua pihak berhubung penutupan tersebut. Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak pentadbiran Masjid Putra di talian 03-8888 5678,” demikian menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :