AGENDAEKONOMINASIONAL

Digi lanjutkan tawaran internet produktiviti 30GB percuma untuk B40

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Digi Telecommunications Sdn Bhd bertindak memperkukuh komitmennya menyokong kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dengan melanjutkan tawaran percuma Internet Produktiviti 30GB sebulan (1GB sehari) sehingga 31 Julai, 2021 serta terus membantu keperluan usaha e-pembelajaran dan bekerja secara jarak jauh.

Dalam kenyataan pada Sabtu, syarikat telekomunikasi itu berkata kesemua pelanggan pascabayar dan prabayar aktif akan terus menikmati Internet Produktiviti 30GB sebulan bagi tujuan pembelajaran dan produktiviti yang melebihi peruntukan data bulanan pelan sedia ada masing-masing.

Selain itu, syarikat itu juga akan terus menawarkan akses percuma dan tiada had melibatkan aplikasi, laman sesawang dan perkhidmatan berkaitan maklumat bagi memastikan rakyat negara ini sentiasa mendapat perkembangan terkini mengenai Covid-19.

“Ini termasuk aplikasi MySejahtera dan MyTrace, laman sesawang penting dan talian penting berkaitan kesihatan seperti Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta sebagainya,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi https://www.digi.com.my/bpr.

– BERNAMA


Pengarang :