ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri meninjau proses saringan Covid-19 percuma di Dewan Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang pada 30 Mei 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Dijangkiti lepas raya, saringan cegah virus merebak di empat kampung

PELABUHAN KLANG, 30 MEI: Saringan Komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang hari ini bertujuan memutuskan penularan Covid-19 yang meningkat di empat kampung.

Ahli Dewan Negeri Azmizam Zaman Huri berkata peningkatan jangkitan di Kampung Pendamar, Jalan Pandamaran Jaya, Taman Suria Pendamar dan Kampung Idaman berlaku selepas sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak panggilan penduduk kawasan itu yang mendakwa mereka perlu menjalani kuarantin ekoran ahli keluarga dijangkiti wabak seminggu selepas raya.

“Kebanyakan mereka mendapat jangkitan virus ini semasa hari raya. Apa yang dimaksudkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu betul yang mana kes berkembang 14 hari selepas perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Pandamaran Jaya dari jam 9 pagi hingga 4 petang hari ini.

Azmizam menjelaskan beliau memutuskan saringan diadakan di dewan tersebut selepas seminggu berbincang dengan Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Beliau juga berpuas hati dengan perjalanan program tanpa sebarang pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) malah orang ramai tidak perlu menunggu lama kerana proses saringan sangat cepat.

Bermula 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan saringan percuma di 56 DUN dengan memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :