Keadaan di unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Doktor terpaksa pilih rawat pesakit Covid-19, utamakan kadar sembuh tinggi

SHAH ALAM, 30 MEI: Doktor terpaksa membuat pilihan dalam merawat pesakit Covid-19 dengan mengutamakan individu yang berpotensi sembuh berbanding sebaliknya.

Mendedahkan perkara tersebut di Twitter, ketua pengarah kesihatan berkata keputusan itu berikutan kes jangkitan aktif pada masa ini melebihi kemampuan untuk merawat terutama membabitkan kes di unit rawatan rapi (ICU).

“Maka, para doktor terpaksa membuat pilihan sukar untuk utamakan katil ICU bagi pesakit yang berpotensi sembuh yang lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuh lebih rendah.

“Terkini, inilah hakikat sebenar,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah malam tadi.

Beliau juga mendedahkan bilik simpanan mayat di hospital kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia mula penuh bagi menampung jenazah berikutan peningkatan kematian akibat virus berkenaan kebelakangan ini.

Katanya, KKM terpaksa menyediakan kontena khas khusus untuk jenazah pesakit Covid-19 di lima hospital, tiga daripadanya terletak di Lembah Klang iaitu Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Hospital Sungai Buloh.

Dua lagi ialah Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah. Selain itu, satu ‘fleximort’ disediakan untuk jenazah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“Setiap kontena boleh menampung maksimum 20 jenazah dan ‘fleximort’ maksimum 12 jenazah,” terang Dr Noor Hisham.


Pengarang :