Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dr Dzulkefly: PKP tidak boleh lama tapi harus tegas

KAJANG, 9 MEI: Tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor ketika ini adalah singkat, namun boleh mendatangkan mudarat jika terlalu lama.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berpandangan negeri itu memerlukan sekurang-kuranya 28 hari bagi menurunkan jumlah kes Covid-19.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata PKP 1.0 pada Mac tahun lalu berjaya mengurangkan kes, namun boleh memberi kesan tidak baik khususnya kepada rakyat.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap kepada media pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Perkara paling penting bukan memanjangkan tempoh itu terlalu lama sebaliknya penguatkuasaan, pematuhan dalam waktu itu…kerana kita tahu PKP ini memudaratkan kepada rakyat.

“Kalau betul-betul kita nak buat PKP perlu pantas, tegas, keras tetapi singkat. Jangan terlalu lama kerana beban kepada ekonomi, rakyat,” katanya ditemui pada program saringan Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian semalam.

Sementara itu, Dr Dzulkefly mengakui saringan besar-besaran ketika ini akan meningkatkan jumlah kes, namun berpotensi mengenal pasti jangkitan sekali gus mengawalnya.

“Kita akan gagal jika mengekori virus dan tidak mengatasinya. Ia hanya dapat diatasi jika kita meningkatkan ujian, selepas ujian dibuat kita tingkatkan isolasi.

“Jangan izinkan yang positif merayau, sebab itu kit ujian pantas ini penting bukan 48 jam tunggu keputusan dan dalam tempoh itu individu itu merayau. Ini menyebabkan kita gagal mengawal,” katanya.


Pengarang :