Aksi Pemain Selangor FC Sharul Nazeem (kanan) dan pemain Petaling Jaya FC Mahalli Jasuli pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) pada 2 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Dua gol saat akhir Ifedayo julang Selangor FC

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Dua gol penyerang import Ifedayo Olusegun di penghujung perlawanan memastikan Selangor FC meraih kemenangan 2-1 ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Pemain kelahiran Nigeria itu menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-89 sebelum hantaran lintangnya menerjah gawang Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pada waktu kecederaan.

Dua gol itu meranapkan harapan skuad bimbingan P.Maniam untuk menggenggam mata penuh selepas mendahului sejak awal babak pertama menerusi rembatan kaki kiri V Ruventhiran pada minit ke-25.

Kemenangan itu membolehkan Selangor FC mengumpul 18 mata untuk terus memberikan tekanan kepada Terengganu FC (TFC) yang dipisahkan tiga mata di kedudukan keempat liga sementara PJ City FC kekal di tangga keenam mengutip 14 mata.

Sementara itu, Perak FC terus dirundung malang apabila gagal meraih tiga mata penuh dalam empat perlawanan terakhir selepas tewas 1-2 kepada Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Skuad The Bos Gaurus yang mendahului menerusi sepakan percuma memukau Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-27 gagal mempertahankan kedudukan itu pada separuh masa kedua apabila bekas penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahya menyamakan kedudukan pada minit ke-65.

Pemain import tengah dari Gabon Levy Madinda memastikan skuad Tambadau bangkit daripada ketinggalan dengan bergaya selepas berjaya menewaskan penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menerusi sepakan percuma pada minit ke-79.

Dalam pada itu, pemain gantian A.Selvan muncul wira Negeri Sembilan FC apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-75 untuk membantu pasukan menundukkan PDRM FC 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras

Negeri Sembilan FC yang mengumpul 21 mata kini mendahului perlumbaan perebutan kejuaraan Liga Premier dengan perbezaan satu mata di hadapan Sarawak United FC di kedudukan kedua.

Pada masa sama, jaringan hatrik Jordan Mintah membantu Terengganu FC II (TFC II) membelasah Kelantan United FC 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sekali gus naik ke tangga ketiga liga.

Pemain import Ghana itu meledak dua jaringan penalti pada minit keempat dan ke-32 sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-69, sementara Argzim Redzovid turut mencetak nama sebagai penjaring manakala gol sagu hati Kelantan United FC dijaringkan Alfusainey Gassama pada minit ke-40.

-BERNAMA

 


Pengarang :