Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan Mat Yusop memberikan penerangan ketika sidang media diadakan di Bangunan Zakat Selangor, Shah Alam pada 23 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dua ibu tunggal didakwa mohon bantuan gereja pernah terima zakat Selangor

SHAH ALAM, 3 MEI: Dua ibu tunggal beragama Islam yang mendakwa terpaksa memohon bantuan kewangan daripada gereja pernah menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua pegawai eksekutif berkata pihaknya sudah menemui dua daripada tiga wanita terbabit dan tidak dapat disahkan sama ada mereka menerima bantuan gereja seperti didakwa, lapor Berita Harian.

Saipolyazan M Yusop berkata siasatan LZS mendapati salah seorang ibu tunggal berkenaan adalah asnaf miskin yang berdaftar dengan agensi tahun lalu.

“Ibu tunggal itu mempunyai tiga orang tanggungan dan sehingga kini, bantuan zakat yang diterima berjumlah RM23,450 termasuk bantuan kewangan bulanan serta sewa rumah yang disalurkan sehingga Disember tahun ini.

“Bantuan lain yang diterima adalah bantuan pendidikan, bantuan hutang keperluan hidup (bagi menjelaskan tunggakan sewa rumah) serta bantuan kecemasan. Bagaimanapun, usaha kami menghubungi ibu tunggal ini gagal,” katanya.

Bagi ibu tunggal kedua, beliau berkata siasatan LZS mendapati wanita itu bukan ibu tunggal dan mempunyai suami yang tidak menetap di negara ini.

“Wanita ini juga menerima bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2012 hingga 2017. Dia juga pernah menerima bantuan menyelesaikan tunggakan sewa rumah pada 2017 daripada LZS dan tiada permohonan lain dibuat olehnya selepas itu,” katanya.

Saipolyazan menambah wanita ketiga pula didapati masih mempunyai suami dan baru sahaja menghantar permohonan pendaftaran asnaf bagaimanapun dokumennya tidak lengkap kerana tiada dokumen perceraian.

Pada 29 April lalu, tiga ibu tunggal mendakwa mereka tidak menerima bantuan sewajarnya dari institusi zakat atau agensi berkaitan walaupun sudah berkali-kali membuat permohonan.

Kesemua mereka yang tinggal di sekitar daerah Ampang turut mendakwa terpaksa memohon bantuan dari gereja akibat dihimpit kesukaran hidup selepas bergelar ibu tunggal.


Pengarang :