Pengunjung Pasar Tani di pekarangan Stadium Shah Alam pada 9 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Elak cetus wabak, lebih ramai Rela pantau SOP pasar tani

SHAH ALAM, 9 MEI: Jumlah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di pasar tani seluruh negeri ditambah bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

EXCO industri asas tani berkata tindakan selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menjadikan kawasan itu selamat dikunjungi sekali gus bebas penularan Covid-19.

“Ada pertambahan kerana sebelum ini mereka berperanan dalam menjaga lalu lintas tetapi dengan PKP ini kita tambah bilangan mereka bergantung pada sesuatu lokasi.

“Dari dua orang kepada empat, ada juga enam orang selain penguat kuasa dari pihak berkuasa tempatan untuk memantau,” kata Ir Izham Hashim selepas melawat Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini.

Beliau berkata kaedah pemberian nombor bagi tujuan penggiliran keluar masuk juga dibuat bagi memastikan keadaan terkawal.

“Sistem kad ini kita berikan kepada kawasan tertentu terutama lokasi yang sempit. Kalau kawasan luas seperti di sini (Stadium Shah Alam) kita tidak gunakan,” katanya.

Enam daerah di Selangor dikenakan PKP berkuat kuasa mulai 6 hingga 17 Mei manakala tiga daerah iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor kekal PKP Bersyarat.


Pengarang :