Anggota keselamatan melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan rentas negeri di sekatan jalan raya (SJR) ketika tinjauan di Plaza Tol Bandar Ainsdale berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 13 Mac 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Enam daerah di Selangor dikenakan PKP, tiga lagi kekal PKPB

SHAH ALAM, 4 MEI: Enam daripada sembilan daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 6 hingga 17 Mei, kata menteri kanan keselamatan.

Enam daerah itu ialah Petaling, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sepang. Tiga daerah lagi, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor kekal dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan kecuali berkaitan kecemasan, kematian dan kerja.

“Operasi bazar Ramadan masih dibenarkan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat. Walau bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan atau menutup bazar di bawah kuasa Kerajaan Negeri,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di Selangor selain mahu rantaian penularan diputuskan.

Menurut beliau, sejak 20 April hingga 4 Mei lalu, kes Covid-19 di negeri ini mencatat jumlah jangkitan yang tinggi.

“Kerajaan Selangor menerusi Dato’ Menteri Besar dan Majlis Keselamatan Negeri membentangkan cadangan untuk melaksanakan PKP.

“Setelah merujuk kepada laporan dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia, maka sidang khas MKN setuju laksanakan PKP di enam daerah terbabit,” katanya.

 

 


Pengarang :