Borhan Aman Shah menyerahkan watikah ketika Penyampaian Pelantikan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ketika Jelajah Ramadan Kita Selangor Daerah Sabak Bernam di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 7 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Enam wanita terima watikah pelantikan ketua kampung

SABAK BERNAM, 7 MEI: Seramai 79 individu termasuk enam wanita menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Sabak Bernam.

Majlis penyampaian watikah disempurnakan EXCO Pembangunan Luar Bandar, Borhan Aman Shah di Dewan Seri Sekinchan hari ini.

Borhan berkata pengerusi MPKK yang juga ketua kampung melalui proses penilaian ketat termasuk temu duga sebelum terpilih menggalas peranan tersebut.

“Saya menggariskan perkara penting sebagai pengerusi MPKK iaitu sentiasa berpakaian kemas, kemahiran pengucapan awam serta mampu mentadbir dengan baik,” katanya berucap pada majlis tersebut.

Beliau turut bersedia mencadangkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk menaikkan elaun bulanan pengerusi MPKK berjumlah RM1,200 kepada RM1,500 sekiranya melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Kerajaan Negeri ada kemampuan untuk menaikkan elaun pengerusi MPKK, kita juga ada sediakan Skim Insurans Berkelompok.

“Malah sejumlah RM1,000 diberikan kepada pemimpin masyarakat negeri ini melalui Bantuan Khas Kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Terdahulu Borhan turut menyampaikan bantuan sejumlah RM235,000 sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) kepada lima masjid di daerah Sabak Bernam.


Pengarang :