Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) meninjau suasana Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Komuniti Taman Muda, Ampang pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Jangan alpa meski kadar jangkitan komuniti stabil

HULU LANGAT, 11 MEI: Program Saringan Komuniti mengesan kadar jangkitan penduduk negeri ini bawah paras lima peratus seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun, EXCO kesihatan awam menasihatkan orang ramai kekal berjaga-jaga dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak gelombang keempat wabak.

“Saringan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Kajang, Sungai Ramal dan Balakong menunjukkan kadar jangkitan komuniti masih stabil namun kita jangan alpa.

“Sekiranya banyak kes positif, ini bermaksud masih banyak kes belum dikesan dalam kalangan komuniti,” kata Dr Siti Mariah Mahmud selepas meninjau program saringan Covid-19 di sini semalam.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Saringan dimulakan di DUN Kajang dan Semenyih pada 8 Mei, Sungai Ramal dan Balakong (9 Mei) manakala semalam di Teratai dan Dusun Tua. Ia diteruskan di Lembah Jaya dan Pandan Indah hari ini.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.


Pengarang :