Petugas kesihatan Klinik Selcare mengambil sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) ke atas peserta Program Saringan Komuniti Covid-19 yang diadakan secara percuma di Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang pada 11 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Kes Covid-19 Selangor dijangka turun mulai Jun

AMPANG, 11 MEI: Kes Covid-19 di Selangor dijangka turun mulai Jun berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jangkaan itu mampu dicapai sekiranya semua pihak tidak alpa dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketika sambutan hari raya.

“Jika kita betul-betul patuh SOP, kesan akibat perayaan itu akan dilihat selepas dua minggu. Jadi, mungkin pada Jun boleh lihat kes Covid-19 turun.

“Kita yakin kerana orang ramai tidak boleh bergerak bebas berikutan aktiviti merentas daerah dan negeri serta ziarah-menziarahi tidak dibenarkan semasa Syawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau saringan Covid-19 di Dewan MPAJ Pandan Indah di sini hari ini.

Menurut wakil rakyat Seri Serdang, pelaksanaan PKP demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan bersama.

“Memang ada sedikit kritikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan kerana kita sepatutnya membuat saringan lebih banyak pada awal PKP dulu tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Rakyat muak namun apa pilihan yang kita ada? Kita tunggu vaksin pun belum tiba disebabkan masalah pembekal… ini masalahnya apabila kita (Kerajaan Negeri) ada duit tetapi tak boleh beli,” katanya lagi.

Ketika ini, kes positif Covid-19 di Selangor secara konsisten mencatat empat angka dengan 1,149 yang direkodkan semalam dan 1,328 hari ini.


Pengarang :