Dr Siti Mariah Mahmud
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Mesej tular Selangor beri vaksin Sinovac kepada penduduk palsu

SHAH ALAM, 17 MEI: EXCO kesihatan awam menafikan mesej tular di aplikasi WhatsApp berkaitan pemberian vaksin Sinovac kepada penduduk negeri ini.

Dr Siti Mariah Mahmud menegaskan kenyataan atau pengumuman rasmi mengenai vaksin hanya dikeluarkan Dato’ Menteri Besar atau beliau sahaja.

“Saya ingin menegaskan bahawa mesej tular tersebut adalah palsu dan tidak benar.

“Segala kenyataan atau pengumuman rasmi berkenaan vaksin Covid-19 di Selangor hanya akan dikeluarkan oleh Dato’ Seri Amirudin Shari atau saya sahaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut berkongsi tangkap layar mesej tular yang mendakwa Kerajaan Negeri memberikan 500,000 vaksin Sinovac tambahan kepada rakyat Selangor.

Ahli Dewan Seri Serdang juga meminta penduduk negeri ini mendapatkan maklumat yang sahih melalui platform media sosial menerusi:

1. Facebook Dato’ Seri Amirudin Shari

2. Facebook Dr Siti Mariah

3. Facebook Selangor Task Force Covid 19

4. Facebook Media Selangor

Pada 5 Mei, Dr Siti Mariah berkata pembelian vaksin Covid-19 dirancang Kerajaan Negeri untuk kegunaan rakyat tidak dapat dilakukan selagi keperluan kerajaan persekutuan belum dipenuhi.

Pada 18 Januari, Selangor berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin dan usaha itu disambut baik kerajaan persekutuan serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dato’ Menteri Besar turut mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk tujuan itu bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

 


Pengarang :