Fenomena gerhana bulan penuh atau ‘Super Flower Blood Moon’ yang dirakam di Tebingan Sungai Kuching ketika tinjauan pada 26 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Fenomena ‘bulan berdarah’ muncul di Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berjalan, orang ramai terutama peminat astronomi tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena alam yang jarang berlaku iaitu gerhana bulan penuh ‘Super Flower Blood Moon’ yang muncul malam ini.

Cuma kali ini, orang ramai menonton fenomena itu secara langsung melalui laman YouTube dan Facebook milik Planetarium Negara memandangkan kemudahan teleskop di Planetarium Negara di sini tidak dibuka susulan PKP.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Pencerapan Planet Planetarium Negara Mohd Zamri Shah Mastor berkata kali terakhir kejadian bulan purnama seperti itu berlaku ialah kira-kira 18 tahun lepas iaitu pada 2003.

Beliau berkata gerhana bulan itu dipanggil ‘Super Flower Blood Moon’ bersempena tiga fenomena yang berlaku dalam satu masa yang menyaksikan ‘Super Moon’ kerana bulan kelihatan lebih besar sedikit iaitu kira-kira tujuh peratus berbanding saiz bulan purnama lain kerana berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi.

Katanya fenomena kedua ialah ‘Flower Moon’ kerana berlaku pada musim bunga dan ‘Blood Moon’ pula kerana warna bulan bertukar kemerah-merahan seolah-olah bulan berdarah.

“Fenomena gerhana bulan penuh ini menyebabkan bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 15 minit pada fasa gerhana penuh… ‘Blood Moon’ hanya berlaku pada 7.11 malam hingga 7.26 malam.

“Bagaimanapun, ‘Super Moon’ dan ‘Flower Moon’ pula dapat dilihat sepanjang malam sehingga Subuh,” katanya ketika siaran langsung itu.

Sementara itu, pencerapan gerhana bulan secara langsung menyaksikan ‘pembentukan’ fenomena yang berlaku bermula 4.47 petang hingga 9.49 malam itu dibuat di Tanjung Labian, Lahad Datu, Sabah dan Balai Cerap Planetarium Negara.

Penduduk Sabah dan Sarawak dapat menyaksikan fenomena itu ketika ia mencapai fasa gerhana separa bermula pada kira-kira 7 malam manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung terutama Kuala Lumpur, fenomena tersebut hanya sepatutnya kelihatan ketika fasa gerhana telah maksimum iaitu pada 7.15 malam.

Bagaimanapun, hujan lebat dan awan tebal di Kuala Lumpur menyebabkan fenomena ‘bulan berdarah’ yang tamat pada 7.26 malam itu tidak dapat dilihat di langit ibu kota.

Fenomena gerhana itu berlaku selepas beberapa jam bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan bumi yang berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di laman sesawangnya menyatakan solat sunat dan khutbah gerhana dijalankan mengikut prosedur operasi standard di seluruh masjid dan surau di Kuala Lumpur selepas solat maghrib.

-BERNAMA

 


Pengarang :