AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Galak ambil vaksin, Media Selangor beri pelepasan khas

SHAH ALAM, 4 MEI: Media Selangor memberi pelepasan cuti tanpa rekod kepada kakitangan yang akan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Dalam kenyataan, pengurusan syarikat itu turut menggalakkan warga kerjanya mengambil vaksin bagi mencapai kelompok imuniti sekali gus menamatkan penularan wabak.

“Pihak pengurusan menyokong usaha kerajaan Malaysia bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Oleh yang demikian, pihak pengurusan bersetuju mengambil inisiatif bagi memberikan pelepasan cuti tanpa rekod dengan beberapa syarat,” menurut kenyataan itu.

Syarat tersebut meliputi:
1. Menyediakan bukti janji temu untuk menerima vaksin
2. Perlu memohon tiga hari sebelum tarikh menerima vaksin
3. Permohonan perlu dilakukan dengan mengisi borang cuti dan diserahkan kepada Jabatan Sumber Manusia

Pengurusan Media Selangor turut memaklumkan cuti berkenaan tidak ditolak daripada peruntukan cuti tahunan.

Mereka berharap inisiatif itu menggalakkan kakitangan Media Selangor mengambil suntikan vaksin bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia.

Media Selangor dikenali sebagai Communication Corporation Sdn Bhd sejak ditubuhkan lebih 11 tahun lalu
sebagai sebahagian utama jentera penerangan Kerajaan Negeri.

Selain akhbar mingguan SelangorKini dan portal TV Selangor, Media Selangor juga menerbitkan
portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.


Pengarang :