Orang ramai beratur bagi mendaftar sebelum melakukan Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gelombang ketiga Covid-19 kerap jangkiti orang muda, makin banyak kes serius

PUTRAJAYA, 27 MEI: Kes Covid-19 dalam kategori empat dan lima meningkat kepada 15 peratus dalam gelombang ketiga, berbanding hanya lima peratus sebelumnya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata kes Covid-19 dalam gelombang ketiga ini, lebih banyak menjangkiti golongan berusia 20 hingga 40 tahun, dengan rata-ratanya adalah kes sporadik dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster.

“Mereka yang datang (mendapatkan rawatan) di tahap empat dan lima meningkat sejak akhir-akhir ini. Oleh itu, saya sarankan orang ramai untuk lebih berwaspada, kerana ada yang tidak bergejala tetapi terus dikesan di tahap ini.

“Mereka yang berada di tahap empat dan lima ini memerlukan rawatan oksigen dan ada yang di ventilasi,” katanya pada sidang media secara maya di sini, hari ini.

[Nota editor: Kategori 4 – bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen dan Kategori 5 – pesakit kritikal dengan komplikasi kepada pelbagai organ (multiorgan)]

Sementara itu beliau berkata, seramai 870 petugas kesihatan yang menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dikesan dijangkiti wabak Covid-19.

Beliau berkata, 219 petugas dijangkiti Covid-19 selepas mendapat satu dos vaksin, manakala 651 lagi dijangkiti selepas menerima dos kedua.

“Kebanyakan mereka tidak menerima simptom yang teruk kerana mereka telah divaksinasi dan telah mendapatkan perlindungan, sama ada daripada dos pertama atau kedua,” katanya bahawa terdapat 449 petugas kesihatan yang tidak menerima vaksin, telah dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Dr Adham berterima kasih kepada hospital swasta yang meningkatkan jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19, bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menangani wabak tersebut.

Katanya KKM menyambut baik langkah IHH Healthcare Malaysia, yang telah meningkatkan bilangan katil yang dikhususkan untuk Covid-19, meliputi 16 hospital bawah rangkaian syarikat berkenaan di seluruh negara.

“Sehingga kini, terdapat 110 hospital swasta yang bersetuju memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19, dengan menyediakan 1,173 katil wad dan 119 katil ICU, khusus bagi rawatan pesakit Covid-19 meliputi kategori satu hingga lima,” katanya.

Dalam pada itu Dr Adham berkata, cadangan untuk mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu yang tidak hadir ke Pusat Pemberian Vaksin pada hari janji temu, akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV), dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :