Anggota Rela menyukat suhu badan salah seorang pengunjung Pasar Pagi MPSJ Bandar Puchong Jaya yang kembali dibuka pada 16 Jun 2020 dengan SOP ketat. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Guaman percuma bantu B40 dikompaun secara tidak adil langgar SOP

SHAH ALAM, 20 MEI: Seramai 12 peguam menawarkan diri membantu orang ramai dikompaun secara tidak adil kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Projek Keadilan Untuk Semua itu menyediakan perkhidmatan percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) di Parlimen Petaling Jaya dan Sungai Buloh serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan dan Kajang.

“Inisiatif ini memberi ruang kepada golongan terkesan mendapat nasihat, kami memfokuskan kepada sesiapa tidak mampu bayar selain nilai denda munasabah atau tidak,” katanya menerusi kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan ditandatangani Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong dan ADN Kajang Hee Loy Sian.

Mereka berkata definisi kesalahan di bawah PKP 3.0 tidak jelas menyebabkan pihak berkuasa menaksir denda melanggar SOP mengikut pertimbangan mereka sendiri.

“Contoh insiden seperti seorang isteri didenda RM2,000 kerana melintas sempadan negeri untuk bertemu dengan suaminya seorang anggota polis serta pelajar dikompaun RM1,500 kerana berkumpul di kantin.

“Nilai kompaun lebih tinggi daripada gaji menyebabkan keluhan rakyat terhadap ketidakadilan, berat sebelah, penyalahgunaan kuasa dan tekanan emosi,” katanya.

Penduduk di kawasan terlibat boleh menghubungi talian tertera untuk maklumat lanjut.
– Parlimen Petaling Jaya (talian 011-11403861 atau e-mel [email protected])
– Parlimen Sungai Buloh (talian 012-7707423 atau e-mel [email protected])
– DUN Bukit Lanjan (talian 011-69557909 atau e-mel [email protected])
– DUN Kajang (talian 014-5122279 atau e-mel [email protected])

 


Pengarang :