BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Habsah Hassan sedih lirik lagu raya moden hilang syahdu

SAMBUTAN Aidilfitri tidak lengkap tanpa iringan melodi dan bait puitis yang menghidupkan suasana. Tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, lagu raya lama kekal jadi pilihan ramai merentasi peredaran zaman.

Wartawan Afix Redzuan dan jurufoto Hafiz Othman menemu bual penulis lirik tersohor Datuk Habsah Hassan mengupas isu lirik lagu raya.

Mengapa lagu Aidilfitri lama terus popular berbanding lagu sekarang terutama dari segi lirik?

Saya rasa kerana kebanyakan penulis muda tidak mempunyai pengalaman yang dekat dengan kehidupan dan budaya Melayu lama sebenarnya. Apatah lagi lahir dan membesar dalam era baharu di tengah bandar.

Lagu lama ada jiwanya tersendiri kerana hari raya hari istimewa bagi orang Islam dan dirai orang Melayu di Malaysia.

Biasanya lagu raya berkisar pada pengalaman beraya semasa kecil, remaja, dewasa dan kenangan indah atau sayu bersama ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai.

Kemanisan perhubungan ini yang selalu dijadikan gambaran di samping sentuhan terhadap iman, keindahan alam, desa, masyarakat dan budaya Melayu.

Ciri-ciri ini kurang ditemui dalam lagu baharu. Saya rasa tidak boleh disalahkan mereka (penulis lirik baharu). Mungkin kurang pendedahan, pengalaman dan pembacaan menyebabkan penghayatan mereka terhadap “roh” hari raya sedikit hambar.

Contohnya, lagu Selamat Hari Raya nyanyian Allahyarhamah Saloma, Suara Takbir dan Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Lagunya ringkas liriknya mudah tetapi hingga ke hari ini, tanpa lagu-lagu itu, kita dapat rasakan seolah-olah tiada suasana raya.

Sekitar 1970-an, 1980-an dan 1990-an, ada juga lirik lagu-lagu raya yang saya tulis. Kami juga tidak lari dari nostalgia. Alhamdullillah ada antaranya diterima baik dan menjadi malar segar.

Walaupun generasi baharu tidak melalui apa yang kami lalui tetapi mereka nampaknya boleh terima lagu-lagu raya begitu. Antaranya Suasana Hari Raya (Anuar Zain dan Ellina), Sepasang Kurung Biru (Khairil Johari Johar) dan Selamat Hari Raya (Rahimah Rahim).

Selain Suara Takbir yang wajib, lagu-lagu raya lama seolah-olah menjadi “Signature Tune”. Penghayatan penulis terhadap suasana raya boleh melahirkan seni kata yang menyentuh hati.

Sejauh mana pengalaman dan kekuatan melodi menjadikan sesebuah lirik indah?

Hari raya suatu hari yang syahdu, indah dan gembira. Jadi, melodi dan lirik harus jalan seiring. Tidak mengapa komposer generasi baru memilih irama rancak dan penulis lirik melakar seni kata yang mudah dan ringkas. Trend muzik memang sentiasa berubah. Yang penting melodi, tema dan kupasan lirik, cerita di sebalik lagu harus menyentuh naluri pendengar.

Sebab itu, saya katakan lagu-lagu nyanyian Allahyarhamah Saloma tentang kegembiraan, mercun dan kuih-muih adalah perkara yang dilalui sejak dahulu hingga sekarang. Macam lagu Suara Takbir (mengisahkan) takbir itu sendiri. Kesayuan kita sedang menyambut hari raya apatah yang kehilangan ibu bapa atau insan tersayang.

Melodi dan lirik yang seiring menyulam rasa serta menghasilkan karya yang cantik.

Apakah lirik lagu kegemaran Datuk?

Saya sebenarnya ada banyak lagu kegemaran contohnya Dendang Perantau. Walaupun saya dibesarkan di Singapura tetapi kehidupan di sana tidak jauh beza dengan masyarakat luar bandar di Malaysia. Saya pula berkesempatan berhijrah ke Melaka dan merasai suasana raya di kampung. Jadi apabila menulis, ia tidak lari daripada pengalaman.

Tidak perlu ikut apa yang orang buat tetapi sudah namanya lagu raya, kita tidak boleh lari dari tema dan penceritaan hampir sama. Maksudnya cerita sama tetapi sentuhannya berbeza. Contohnya lagu Abang Pulang. Tidak sentuh hari raya secara langsung tetapi bercerita tentang pengalaman manis anak muda pulang ke kampung dan sambutan indah yang diterimanya.

Untuk hasilkan lirik, apakah faktor yang mendorong ilham?

Yang penting bukan sahaja menulis lirik, tulis apa saja termasuk cerpen dan puisi. Pertama, mesti ada pengalaman tetapi tidak semua ada pengalaman luas. Kedua, rajin membaca. Contohnya, kalau mahu menulis mengenai desa, kita kena banyak membaca mengenai desa walaupun tidak pernah melaluinya.

Sekarang senang. Dengan adanya media baharu, kita boleh tengok YouTube untuk dapat gambaran masa silam. Yang penting pendedahan melalui pembacaan dan menonton.

Satu lagi kita kena rajin bertanya. Orang dulu-dulu kata “Malu bertanya sesat jalan”. Rajinlah bertanya orang lama, orang pandai untuk menimba ilmu. Kita juga harus tahu golongan sasaran, perlu fikir mengapa orang ingin dengar dan baca karya kita. Jika tidak banyak, sedikit pun karya perlu ada keistimewaan berbanding yang lain.

Satu lagi kalau ingin menjadi penulis, perlu ada penguasaan bahasa. Perbendaharaan kata kita sangat luas. Sedih melihatkan nasib generasi baru. Sangat kurang didedah dengan khazanah bahasa Melayu yang indah.

“Melentur buluh biar dari rebung” membentuk minda dan keperibadian anak bangsa biar dari usia muda. Kanak-kanak dan pelajar hari ini difahamkan sangat kurang, malah tidak diajar peribahasa, perumpamaan, bidalan, pantun seloka dan kekayaan cerita rakyat. Sedih!

Ini semua keindahan yang perlu kita pertahan dan belajar supaya tidak hilang. Sayangnya, sekarang tidak banyak. Sedihlah kerana itu perbendaharaan kita, harta kita, khazanah yang ditinggalkan orang tua kita. Di situ sebenarnya memperlihat kebijaksanaan orang-orang dahulu.

Orang sekarang ramai yang pandai, ada ijazah tetapi sayang kurang bijak. Kebijaksanaan itu yang perlu kita cari.

Berapa tempoh untuk siapkan satu lirik?

Bergantung. Kadang-kadang kita ada mood, faktor deadline selain itu saya suka ambil ruang yang selesa. Kalau ada deadline saya tiada pilihan, kena paksa diri untuk fokus.

Tetapi kebanyakan waktu, saya diberi kelonggaran. Kalau sudah ada idea, satu hari (lirik) boleh siap. Ada kalanya idea itu berubah-ubah.

Pada saya, menulis lirik seperti juga menghasilkan tulisan lain. Walau umumnya lirik lagu ada 16 baris ayat tetapi ia harus mengandungi mesej dan jalan cerita.

Yang menyanyi harus pandai mentafsir dan menghayati serta boleh menyentuh perasaan pendengar. Saya seboleh-bolehnya tidak mahu orang memberi tema kecuali lagu korporat, iklan atau kempen. Dengan tema, saya rasa lebih sempit sedangkan saya mahu menulis apa yang saya suka.

Antara lirik atau melodi, mana dahulu?

Ada beberapa keadaan saya buat lirik dahulu kemudian baru komposer buat lagu. Begitu juga sebaliknya. Kedua-duanya boleh.

Datuk lebih terkenal penulis lirik berbanding kegiatan seni lain?

Betul sebab menulis lirik merupakan genre terakhir penulisan. Saya lebih suka orang kenal saya sebagai penulis skrip.

Mungkin kerana lagu luas ruangnya mencakup seluruh negara dan segenap usia masyarakat. Bercerita tentang manusia dalam lagu lebih cepat sampai ke sasarannya.

Ramai yang beri komen positif, mereka mengenali lirik saya berdasarkan penggunaan bahasa yang mudah difahami. Alhamdullilah. Sebab itu, saya kata pentingnya bahasa.

Orang ingat atau tidak, saya tidak kisah. Penghargaan bukan matlamat pada saya. Selepas lebih 40 tahun baru orang beri anugerah.

Siapa beri aspirasi menulis lirik?

Orang itu pun tidak sedar Din Osman, kawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan komposer pertama Datuk Ooi Eow Jin. Tidak lupa juga Cikgu Hawa Muhammad aktivis teater di Singapura, insan pertama yang menggalakkan saya menulis skrip drama pentas.

Sebelum terkenal sebagai penulis lirik, apakah yang Datuk lakukan?

Asalnya menulis drama pentas, itulah pengalaman saya. Kemudian drama radio, cerpen, sajak, televisyen dan filem. Akhir sekali, barulah menulis lirik.

Dalam tahun 1970-an, saya menulis lirik ketika berkhidmat di RTM. Saya menulis beratus-ratus drama radio. Apabila adanya televisyen, barulah saya menulis drama TV.

Drama pentas pertama ketika saya di sekolah lagi. Saya ada mentor yang dipanggil Kak Hawa. Saya anak polis. Setiap daerah polis perlu adakan persembahan sempena penubuhan Malaysia.

Kak Hawalah yang mendorong saya menulis drama pentas bertajuk Damak berdasarkan yang diceritakan kepada saya. Beliau memberi tunjuk ajar tentang dialog dan format penulisan drama pentas. Kak Hawa merupakan aktivis teater Kumpulan 4PM. Selain itu, bapa aktif dengan kegiatan kebudayaan.

Dahulu ada program ‘Sekawan Satria’ di radio. Saya lebih rapat dengan bapa dan selalu ikut beliau termasuk ke Radio Singapura.

Beliau juga membawa pancaragam polis marin bernama Seri Temasik Hiburan Pati. Masa itu, antara penyanyinya Allahyarhamah Rosiah Chik dan Allahyarhamah Rafaeh Buang. Ketika itu, skrip dibuang selepas habis drama dan saya ambil untuk belajar formatnya.

Selepas itu, berhijrah ke Malaysia. Saya minat menulis. Semasa tingkatan tiga, drama radio pertama disiarkan di Radio Singapura tajuknya Hati Si Cacat.

Latar belakang cerita membabitkan konfrontasi kerana Indonesia tidak bersetuju dengan penubuhan Malaysia. Maka, ceritanya tentang askar yang cedera dalam mempertahan negara.

Ketika itu, saya tiada pengalaman, tidak pernah masuk hutan. Itulah pentingnya membaca dan dengar radio. Apabila diterima, masa itu bayarannya RM45 dan saya lebih bersemangat untuk berkarya. Tetapi sebelum itu banyak karya ditolak.

Masa itu, kita beremosi mengapa karya ditolak sebab tidak diberi penjelasan. Saya hantar luahan ke akhbar dalam segmen ‘Luahan Pembaca’.

Habis sekolah, saya balik ke Singapura walaupun ibu bapa di Melaka. Saya bekerja sebagai penulis skrip drama sambilan di Radio Singapura sekitar 1968. Antara hasil karya ialah siri rancangan ISADRA iaitu kombinasi irama, sajak dan drama.

Saya seronok sebab aktiviti kebudayaan banyak di sana. Saya menjadi penulis sambilan sehingga bapa paksa balik ke Malaysia.

Saya mula bekerja di Arkib Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan masing-masing selama setahun. Kemudian RTM yang memang menjadi jiwa saya. Bagai pucuk dicita ulam mendatang.

Bagaimanakah pengalaman seterusnya?

Pada 1973, saya mula bekerja di RTM dan menjadi juruhebah sebelum berhenti pada 1984. (Selain itu) pernah menjadi penerbit radio dan pindah ke Kuantan sebagai penerbit am. Kemudian balik ke KL sebagai penyunting skrip.

Saya sayang kerja saya di RTM. Saya jarang ambil cuti. Demam pun saya kerja sebab tidak terasa beban dan seronok. Tetapi disebabkan suasana kerja tidak menyenangkan hati saya bincang dengan suami dan dia menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada saya.

Pada masa sama, saya terima tawaran dari dua sahabat Allahyarham Pak Harun Hassan, penerbit majalah Perempuan dan majalah popular lain serta Dato’ Hishamudin Yaacob dari Karangkraf yang surat tawarannya masih saya simpan sehingga kini. Saya buat keputusan menerima tawaran dari Pak Harun kerana ruang tugasnya lebih sesuai dengan pengalaman saya.

Bersama Allahyarham Pak Harun melalui syarikatnya Amir Communication, kami terbitkan filem Ali Setan. Saya terbabit sepenuhnya dalam penerbitan sebagai penyunting skrip, eksekutif produser, pengurus produksi dan penulis lirik. Saya sepenuh masa menyiapkan filem berkenaan sebelum meletak jawatan.

Kemudian saya buat syarikat produksi sendiri, namanya HasComm dengan dua rakan wartawan veteran tapi yang sempat hanya buat satu drama enam episod bertajuk Rumah Kecil Tiang Seribu.

Kemudian, saya tubuhkan produksi Serangkai Filem bersama suami yang aktif sehingga kini.

Bersama sahabat baik saya Rahimah Rahim, kami tubuhkan Directors Team Sdn Bhd yang terbitkan Hati Bukan Kristal. Filem yang menang enam anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-9 turut memperkenal pelakon baharu Ridzuan Hashim, Julia Rais dan Zaiton Sameon selain pengarah baharu Allahyarham Raja Ahmad Alauddin sebagai pengarah.

Produksi kami antara yang terawal menghasilkan drama swasta sebab dahulu stesen tv hanya terima produk akhir. Alhamdulillah sepanjang beroperasi karya tidak ditolak.

Antara tajuk yang popular adalah Kalau Panggang Dekat di Api yang mempertemu Eman Manan dan Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Harimau Miau Miau pula memperkenal Ridzuan Hashim, Louisa Chong Abdullah dan masa itu (Dato’) Khatijah Ibrahim berlakon.

Bagaimana menulis dalam kesibukan membangunkan produksi?

Saya bukan penulis lirik sepenuh masa. Menulis adalah kesukaan saya. Saya teruja setiap kali dapat idea. Jadi, tidaklah ganggu kerja harian saya.

Seingat saya, lirik pertama ialah lagu Terkenang nyanyian Allahyarham Zulkiflee Ahmad tetapi saya ada peminat tegar Allahyarham Karim Sulaiman, bekas pengarang Berita Harian, memberitahu lirik pertama saya ialah lagu nyanyian Salamiah Hassan. Saya lupa tajuknya. Beliau kumpul hampir 80 peratus lirik saya yang dijadikan beberapa jilid. Budi baik arwah sentiasa saya kenang.

Sekarang ada dalam 1,300 lirik saya yang dapat dikesan. Bukan sekadar penyanyi tetapi termasuk lirik korporat, iklan, kempen dan lagu universiti.

Apakah pencapaian dalam bidang filem?

Pembabitan dalam filem Ali Setan banyak memberi pengalaman berharga pada saya. Dalam filem Hati Bukan Kristal, Erma Fatimah dapat anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Ridzuan Hashim (Pelakon Lelaki Terbaik), Julia Rais (Pelakon Bintang Harapan), Allahyarham Raja Ahmad Alauddin (Pengarah Terbaik) dan saya (Skrip Terbaik).

Melalui Serangkai Filem pula, kami terbitkan Soalnya Hati, Soalnya Siapa dan bekerjasama dengan Nizalman menerbitkan Qaisy & Laila yang turut dilakonkan Jehan Miskin dan Fazura.

Untuk penerbitan drama TV Singapura, saya tubuhkan Directors Team Singapura.

Saya cerewet tentang skrip dan pelakon. Serangkai Filem banyak melahirkan pelakon baharu (Dato’) Jalaludin Hassan, Nasir Bilal Khan, Julia Rais, Jehan Miskin dan ramai lagi.

Dahulu kita bekerja kerana cintakan kerja kita. Kita mahu berikan yang terbaik di samping mencari rezeki. Sekarang orang bekerja cinta soal kedua. Yang utama untung rugi.

Nasihat untuk genarasi muda menjadi penulis yang baik?

Semua orang ada bakat tersendiri sama ada sedar atau tidak. Pada saya, setiap bakat yang Tuhan beri istimewa. Kita jangan sia-siakan.

Kita kena fokus dan serius dalam semua perkara yang kita lakukan. Insya-Allah akan ada hasilnya. Mungkin bukan hari ini tetapi akan datang.

Saya selalu ingatkan diri, kalau dapat banyak anugerah ketika muda mungkin akan hanyut sebab kita muda dan tenggelam dalam pujian. Ada sebab Tuhan tidak bagi ketika itu.

Kita boleh lihat ramai orang yang berjaya dengan impiannya tetapi gagal dalam hidup. Kenapa? Kerana kita tidak boleh tangani keadaan ketika itu.


Pengarang :