Orang ramai perlu membuat pendaftaran sebelum melakukan ujian calitan Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong, Cheras pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir 3,000 daftar saringan percuma di Balakong, Sungai Ramal

BANGI, 9 MEI: Hampir 3,000 individu membuat prapendaftaran saringan percuma Covid-19 menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) hari ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata seramai 1,550 individu mendaftar di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong setakat tengah hari tadi, manakala 1,200 di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Jumlah pradaftar amat memberangsangkan malahan peningkatan lebih baik berbanding semalam. Kita harap masyarakat tidak melepaskan peluang ini untuk hadir dan buat saringan kerana proses pun tidak lama, memadai hanya tiga minit sahaja,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti Covid-19 yang diadakan di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi di sini.

Menurutnya, orang ramai mula beratur seawal jam 7.45 pagi sekali gus membuktikan tahap kesedaran semakin baik.

“Anda tidak perlu takut sebaliknya perlu mengambil peluang ini untuk tahu status kesihatan dan pada masa sama kita boleh mengambil langkah berwaspada,” katanya.

Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program saringan dimulakan sekitar Kajang dan Semenyih dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.


Pengarang :