Orang ramai termasuk kanak-kanak menunggu giliran bagi membuat ujian calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh pada 26 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hampir 40 peratus peserta saringan percuma babit kanak-kanak

SUNGAI BULOH, 26 MEI: Hampir 40 peratus peserta Saringan Komuniti Covid-19 di negeri ini membabitkan bayi dan kanak-kanak, kata Selgate Corporation Sdn Bhd.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporatnya berkata angka itu menunjukkan kesedaran tinggi ibu bapa terhadap aspek kesihatan dan keselamatan anak-anak mereka.

“Bagi memudahkan urusan ibu bapa, kami sediakan laluan khas kanak-kanak untuk membuat saringan bagi mengelakkan mereka terdedah jangkitan orang dewasa.

“Jika tidak tahu untuk membuat pendaftaran, kita akan bantu. Semuanya menjadi mudah,” kata Norafida Zamri ketika ditemui pada program saringan di Dewan MBSA Paya Jaras hari ini.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai ibu bapa membawa anak-anak membuat ujian pengesanan Covid-19 berikutan golongan itu antara yang mudah dijangkiti virus.

“Kanak-kanak dan bayi merupakan keutamaan kami kerana mereka merupakan golongan perlu dilindungi.

“Mereka terdedah jangkitan dan ini tanggungjawab ibu bapa memastikan mereka selamat. Saringan ini tiada had kerana virus tidak memilih sesiapa,” kata Norafida.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 6,290 bayi bawah 18 bulan dijangkiti Covid-19 dan ia wajar menjadi isyarat amaran kepada ibu bapa.


Pengarang :