Orang ramai menonton program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor secara langsung melalui SelangorTV pada 14 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir 90,000 tonton Senandung Aidilfitri #KitaSelangor di YouTube SelangorTV

SHAH ALAM, 16 MEI: Hampir 90,000 penonton menyaksikan program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor yang bersiaran di selangortv.my atau YouTube carian SelangorTV setakat 5 petang ini.

Program hiburan lebih sejam itu menampilkan Aisyah, Najwa Latif, Siti Nordiana, Bunkface, Roy, Azmi Caliph Busker dan Ahmad Yassin yang memiliki suara mirip Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Dihoskan pelawak terkenal Salleh Yaacob, Raja Azura dan Ropie Cecupak, program yang bersiaran langsung jam 9 malam raya pertama menonjolkan usaha Kerajaan Negeri iaitu Inisiatif Peduli Rakyat.

Siti Nordiana mengadakan persembahan sewaktu rakaman Senandung Aidilfitri yang akan disiarkan melalui platform Media Selangor. Foto Megaday Media Sdn Bhd

 

Selebriti berdarah kacukan Che Puan Juliana Evans membuat penampilan istimewa dengan melakonkan sketsa nasib golongan berpendapatan rendah yang menerima inisiatif tersebut.

Turut dipaparkan kegembiraan sepasang suami isteri menerima bekalan air secara percuma menerusi Skim Air Darul Ehsan.

Golongan bapa juga gembira anak-anak menerima insentif kelas tambahan percuma menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor, Skim Bantuan Tadika Selangor dan Tabung Warisan Anak Selangor.

Ia turut memaparkan sedikit ‘kisah’ Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin meluangkan masa ke bazar ramadan bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad dengan hanya menaiki motosikal untuk membeli juadah berbuka.

Rakaman program anjuran Kerajaan Selangor dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (Padat), Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Gaya Travel dijalankan antara 3 hingga 10 April lalu di beberapa lokasi antaranya Sepang, Gombak dan Kuala Selangor.


Pengarang :