Salah seorang petugas kesihatan yang berkhidmat di pusat saringan Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 16 Februari 2021. Foto REUTERS
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hampir setengah juta dijangkiti virus, kes aktif lebih 52,000

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai Covid-19 dan perkara berkaitan di Malaysia dari 15 hingga 21 Mei 2021.

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Malaysia semakin dibayangi kemungkinan berhadapan dengan kes harian baharu lima angka setelah tiga hari berturut-turut merekod kes harian baharu Covid-19 sekitar enam ribu pada Rabu (19 Mei), Khamis (20 Mei) dan semalam.

Ini ditambah dengan penularan varian baharu Covid-19 yang lebih ganas dari United Kingdom, Afrika Selatan dan India yang sudah dikesan menular dalam komuniti negara ini.

Perkara ini turut menjadi kebimbangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini apabila beliau berkata “Malaysia kini berada pada titik genting. Dijangkakan jumlah kes harian akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.”

Penularan koronavirus maut Covid-19 yang dilihat semakin parah mutakhir ini juga menyebabkan kes kumulatif hampir mencecah 500,000 kes. Semalam, kes kumulatif yang direkod adalah sebanyak 498,795 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melepasi paras 50 ribu iaitu 52,106 kes.

Malaysia pernah mencatat kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melepasi angka 50 ribu pada 6 Februari 2021 iaitu 50,894 kes.

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 21 Mei 2021, Malaysia menambah sebanyak 6,493 lagi kes harian baharu Covid-19 dengan Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar, sebanyak 2,163 kes.

Kelmarin, Malaysia merekod sebanyak 6,806 kes harian baharu Covid-19, yang tertinggi sejak Malaysia mengesan kes pertama Covid-19 pada 25 Januari 2020. Lonjakan kes semalam mengatasi rekod hari Rabu 19 Mei 2021 iaitu 6,075 kes.

Rekod tertinggi kes harian baharu sebelum ini dilaporkan pada 30 Januari 2021 iaitu sebanyak 5,728 kes dengan Selangor menyumbang kes harian baharu tertinggi iaitu 3,285 kes.

Sepanjang tempoh rangkuman terkini mingguan Bernama (15 hingga 21 Mei 2021), Malaysia merekod lonjakan kes harian baharu Covid-19 yang konsisten antara tiga ribu hingga lebih enam ribu dan dibimbangi boleh mencecah lima angka.

Berikut adalah bilangan kes harian baharu yang dicatat sepanjang tempoh tersebut:

15 Mei (4,140 kes), 16 Mei (3,780 kes), 17 Mei (4,446 kes), 18 Mei (4,865 kes), 19 Mei ( 6,075 kes), 20 Mei (6,806 kes) dan 21 Mei (6,493 kes).

Petugas kesihatan mendapatkan sampel calitan bagi mengesan jangkitan Covid-19 di Kuala Lumpur pada 11 Mei 2021. Foto REUTERS

Lonjakan kes harian baharu yang mendadak kebelakangan ini turut mencemaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kes yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) terus meningkat, begitu juga bilangan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Semalam, sebanyak 643 kes direkod di ICU dan 363 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam paparan Facebook peribadi beliau menyebut setakat 18 Mei 2021, kadar penggunaan katil rawatan kritikal / ICU Covid-19 di Lembah Klang, secara keseluruhannya mencapai 89 peratus.

Menurut beliau, Selangor, WP Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan katil Covid-19 ICU melebihi 80 peratus.

Hospital Covid-19 pula, kata beliau, meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit COVID-19 dengan mengubah fungsi (repurpose) wad biasa. Walau bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

Beliau pada 20 Mei menyatakan, kadar penggunaan katil ICU Covid-19 bagi seluruh negara mencapai 83 peratus.

“Peningkatan kes-kes secara mendadak kebelakangan ini memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Rakyat adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar. Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita!”

Dengan 498,795 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 42 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Malaysia mengatasi Nepal (488,645 kes) dan di hadapan Malaysia adalah Maghribi (516,091 kes).

Banyak kes kematian

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar KPK mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia pada Jumaat 21 Mei melaporkan sebanyak 50 lagi kes kematian, melibatkan 49 orang warganegara dan seorang bukan warganegara. Ini menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 2,149 kes.

Daripada 50 kes kematian itu, 22 kes dilaporkan berlaku di Selangor, lapan (8) kes di Sarawak, lima (5) kes di Johor, empat (4) kes di Kedah, tiga (3) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing dua (2) kes di Negeri Sembilan, Perak, dan Melaka, serta masing-masing satu (1) kes di Pulau Pinang dan Kelantan.

Kes tertinggi kematian direkod kelmarin sebanyak 59 kes, melibatkan 58 warganegara dan seorang bukan warganegara.

Daripada jumlah 59 kes itu, Johor melaporkan kes kematian tertinggi iaitu 14 kes, sementara 10 kes di Selangor, lapan (8) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, enam (6) kes di Kelantan, masing-masing empat (4) kes di Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing tiga (3) kes di Kedah, Perak, dan Terengganu, dua (2) kes di Sarawak, serta masing-masing satu (1) kes di Sabah dan Pulau Pinang.

Selain semalam, Selangor turut mencatat angka kematian tertinggi pada 15 Mei (26 kes), 16 Mei (8 kes), 17 Mei (20 kes), 18 Mei (18 kes) dan 19 Mei (19 kes).

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021. Larangan rentas daerah dan negeri juga dikuatkuasakan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Kes warganegara merebak

Penularan tempatan kes Covid-19 di Malaysia melibatkan warganegara masih pada kadar 90 peratus sepanjang tempoh rangkuman terkini mingguan Bernama (15 hingga 21 Mei 2021).

Rekod KKM semalam, daripada 6,493 kes baharu, sebanyak 6,491 kes adalah penularan tempatan, melibatkan 6,038 orang warganegara (93.0 peratus) dan 453 orang bukan warganegara (7.0 peratus). Dua lagi kes adalah kes import (1 warganegara 1 bukan warganegara).

Berikut adalah data yang menunjukkan keseluruhan situasi kes baharu, kes kumulatif dan kes import, berdasarkan makluman KKM:-

Petugas kesihatan menganalisis sampel calitan di pusat saringan Covid-19 di Kuala Lumpur pada 11 Mei 2021. Foto REUTERS

Sabtu 15 Mei – Kes baharu : 4,140 kes (466,330 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,131 kes [3,728 warganegara (90.2%); 403 bukan warganegara (9.8%)]; Kes import : 9 kes (9 warganegara);

Ahad 16 Mei – Kes baharu : 3,780 kes (470,110 kes kumulatif);Kes tempatan : 3,778 kes [3,441 warganegara (91.1%); 337 bukan warganegara (8.9%)]; Kes import : 2 kes (2 warganegara);

Isnin 17 Mei – Kes baharu : 4,446 kes (474,556 kes kumulatif);Kes tempatan : 4,443 kes [4,230 warganegara (95.2%); 213 bukan warganegara (4.8%)]; Kes import : 3 kes (3 warganegara);

Selasa 18 Mei – Kes baharu : 4,865 kes (479,421 kes kumulatif);Kes tempatan : 4,860 kes [4,650 warganegara (95.7%); 210 bukan warganegara (4.3%)]; Kes import : 5 kes (3 warganegara, 2 bukan warganegara);

Rabu 19 Mei – Kes baharu : 6,075 kes (485,496 kes kumulatif);Kes tempatan : 6,072 kes [5,452 warganegara (89.8%); 620 bukan warganegara (10.2%)]; Kes import : 3 kes (1 warganegara, 2 bukan warganegara);

Khamis 20 Mei – Kes baharu : 6,806 kes (492,302 kes kumulatif); Kes tempatan : 6,804 kes [6,122 warganegara (90.0%); 682 bukan warganegara (10.0%)]; Kes import : 2 kes (2 warganegara).

Jumaat 21 Mei – Kes baharu : 6,493 kes (498,795 kes kumulatif); Kes tempatan : 6,491 kes [6,038 warganegara (93.0%); 453 bukan warganegara (7.0%)]; Kes import : 2 kes (1 warganegara; 1 bukan warganegara);

Setakat 21 Mei 2021, sebanyak 4,508 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini 444,540 kes (89.1 peratus).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

15 Mei (3,432 kes), 16 Mei (3,990 kes), 17 Mei (2,784 kes), 18 Mei (3,497 kes), 19 Mei (3,516 kes), 20 Mei (3,916 kes) dan 21 Mei (4,508 kes).

Masih banyak kluster baharu

Kluster baharu semakin banyak dikesan mulai 15 hingga 21 Mei 2021) dan untuk Jumaat 21 Mei, KKM mengumumkan sebanyak 18 lagi kluster baharu.

Berdasarkan laporan harian Dr Noor Hisham mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia, kluster baharu itu terdiri daripada 10 kluster tempat kerja, lima kluster keagamaan dan tiga kluster komuniti.

Rekod kluster baharu sepanjang tempoh rangkuman ini:- 15 Mei (15 kluster), 16 Mei (11 kluster), 17 Mei ( 14 kluster), 18 Mei (19 kluster), 19 Mei ( 22 kluster), 20 Mei (24 kluster) dan 21 Mei (18 kluster).

Secara keseluruhannya sehingga 21 Mei 2021, negara merekod sebanyak 1,984 kluster dan 1,455 kluster daripadanya ditamatkan, sementara 529 kluster masih aktif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook peribadinya pada Jumaat 21 Mei 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 21 Mei 2021 untuk seluruh negara kekal 1.17. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah WP Labuan 2.55, Kedah 1.26 dan Perak 1.25.

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

-BERNAMA


Pengarang :