Orang ramai perlu membuat pemeriksaan suhu badan sebelum membuat pendaftaran Saringan Komuniti Covid-19 bersasar secara percuma di Dewan Komuniti Taman Muda, Ampang pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hari kedua kes Covid-19 lebih 4,000, Selangor kekal tertinggi

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas terus meningkat kepada 4,855 kes berbanding 4,765 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitter beliau berkata dalam tempoh itu, Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,783 kes diikuti Kuala Lumpur (521) dan Johor (467).

Sarawak dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan 395 kes diikuti Kelantan (339), Perak (302), Kedah (193), Terengganu (148), Negeri Sembilan (100), Sabah (76), Melaka (67), Pahang (56), Putrajaya (sembilan) dan Labuan (empat) manakala tiada kes di Perlis.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah kes baharu, tiga adalah kes import manakala 4,852 melibatkan penularan dalam negara.

“Kes import melibatkan tiga bukan warganegara manakala kes tempatan pula membabitkan 4,494 warganegara dan 358 bukan warganegara,” katanya sambil menambah dalam tempoh 24 jam lepas juga, sebanyak 3,347 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 414,707 kes manakala kes aktif kini 41,582.

Beliau berkata sejumlah 481 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 247 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 1,788 kes, susulan 27 kematian baharu dilaporkan hari ini.

Katanya, lapan kluster dikesan hari ini dengan lima membabitkan penularan di tempat kerja, dua kluster melibatkan komuniti dan satu berkaitan keagamaan.

Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Jalan Keretapi Lama (Selangor), Lima Jalan Kebun (Selangor), Jalan Tropika Industri (Johor), Jalan Suasa Industri (Johor) dan Jalan Chain Ferry (Pulau Pinang) manakala dua kluster komuniti adalah di Sarawak iaitu Jalan Lilin dan Kongsi Lapan selain kluster keagamaan iaitu Tanjung Rimau (Melaka).

“Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini 1,848 dengan 457 kluster aktif,” katanya sambil memaklumkan jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan ialah 1,391.

-BERNAMA


Pengarang :