Dr Siti Mariah Mahmud ditemui selepas menyerahkan kit pembasmi Covid-19 secara pandu lalu kepada wakil taska seluruh Selangor di Foyer Jubli Perak, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 23 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Hasrat Kerajaan Selangor dapatkan vaksin tertangguh

SHAH ALAM, 5 MEI: Pembelian vaksin Covid-19 dirancang Kerajaan Selangor untuk kegunaan rakyat tidak dapat dilakukan selagi keperluan Kerajaan Persekutuan belum dipenuhi.

EXCO kesihatan awam berkata ketika ini pembekal tidak dapat menyediakan bekalan sepenuhnya sekali gus memberi kesan terhadap hasrat Kerajaan Negeri, lapor MalaysiaKini.

“Sebab mereka (pembekal) tak dapat bekalkan sepenuhnya (untuk) kerajaan pusat, maka mereka tak boleh berikan kepada Selangor.

“Semuanya jadi tidak telus sekarang,” katan Dr Siti Mariah Mahmud pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Isnin lalu, beliau memaklumkan isu kekurangan bekalan menyebabkan proses pembelian vaksin tersebut menjadi lewat meskipun peruntukan mencukupi.

Pada 18 Januari, Kerajaan Selangor berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin dan usaha itu disambut baik Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk tujuan itu bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :