Keadaan di unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Hilang ibu, adik selang sehari angkara Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Hati siapa yang tidak luluh jika dua insan tersayang pergi buat selama-lamanya hanya dalam masa selang sehari akibat jangkitan virus Covid-19.

Itu saat getir yang terpaksa dilalui Abdul Rahim Daim, 48, apabila adiknya Abdul Malik Daim, 43, meninggal dunia pada 22 Mei lalu di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS, Serdang disusuli ibu tercinta, Patimah Babu, 75, keesokan hari di Hospital Sungai Buloh.

Lebih memeritkan ketika itu, tujuh daripada sembilan ahli keluarga lain termasuk isteri dan tiga anaknya turut disahkan positif apabila melakukan ujian saringan Covid-19, selepas anak, adik dan ibunya mengadu deman dan batuk pada hari raya ketiga.

Ketika dihubungi Bernama, Abdul Rahim berkata beliau tidak menyangka kegembiraan mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri baru-baru ini menjadi kenangan terakhir sebelum wabak itu meragut nyawa dua insan yang tersayang.

“Bimbang melihat keadaan kesihatan anak, adik dan mak, saya tanpa berfikir panjang membawa mereka dan ahli keluarga lain melakukan ujian saringan Covid-19 dan perkara yang takuti akhirnya terjadi apabila ibu dan beberapa ahli keluarga yang lain disahkan positif Covid-19 apabila keputusan ujian saringan diperoleh pada malam itu.

“Hanya saya dan anak perempuan negatif ketika itu, jadi saya kemudian meminta yang positif buat persiapan untuk pergi ‘assessment’ di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam keesokkan paginya tanpa menunggu van ambulans datang ke rumah,” katanya kedengaran tenang ketika menceritakan kembali kejadian itu.

Katanya, selepas menjalani penilaian CAC di Stadium Melawati, ibunya dibawa ke Hospital Sungai Buloh selepas pernafasannya kurang baik di samping mengalami komplikasi buah pinggang dan kencing manis, manakala adiknya yang obes pula dihantar ke PKRC MAEPS.

“Ahli keluarga yang lain pula diarah melakukan kuarantin di rumah,” katanya yang menetap di Puchong.

“Pada pagi Sabtu, 22 Mei saya ada telefon adik kerana dia ada minta hantarkan pakaian dan sejadah, namun panggilan saya tidak dijawab sehinggalah saya dapat panggilan supaya datang ke hospital Serdang, dan dimaklumkan adik saya telah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

“Mereka cuba diselamatkan tapi gagal, kemungkinan dia dah tiada semasa di MAEPS pada pukul 9.00 pagi lagi,” kongsinya sambil mengesahkan video pasukan perubatan memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang pesakit di MAEPS yang tular adalah adiknya.

Dugaan yang diterima tidak terhenti di situ sahaja apabila belum pun sempat menyelesaikan urusan dokumentasi kematian adiknya, Abdul Rahim tidak lama selepas itu menerima panggilan daripada doktor dari Hospital Sungai Buloh yang memaklumkan ibunya pula dalam kedaan tenat.

“Kami sekeluarga sempat buat panggilan video dengan mak memohon maaf atas salah silap selama membesarkan kami adik-beradik, dan itulah perbualan terakhir kami sebelum beliau disahkan meninggal dunia sekitar pukul 2.00 pagi,” katanya.

Abdul Rahim yang merupakan kakitangan Media Prima Berhad berkata jenazah ibu dan adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya pada petang Ahad.

Ditanya mengenai punca jangkitan Covid-19 boleh berlaku dalam kalangan keluarganya, Abdul Rahim berkata beliau sendiri kurang pasti, namun tidak menafikan memang menjadi kebiasaan baginya untuk menghantar belanja, belikan lauk dan makanan ke rumah ibunya sebelum beliau ke tempat kerja.

“Perkara yang berlaku menjadi satu pengajaran yang cukup bermakna buat ahli keluarga saya.

“Sehubungan itu saya ingin berpesan kepada rakyat Malaysia, jangan kita leka dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan, kita tidak ketahui dari mana Covid-19 itu berada dan kita tidak tahu siapa yang pembawanya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :