AGENDANASIONAL

Hon Jian-Ee Wei menang kali ketiga, setelah juarai Terbuka Austria

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Beregu campuran badminton negara Choong Hon Jian-Toh Ee Wei berjaya merangkul kemenangan ketiga mereka tahun ini setelah menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Austria yang berlangsung di Raiffeisen Sportpark di Graz, malam tadi.

Sebelum ini, pasangan muda itu menjuarai Kejohanan Terbuka Poland pada Mac sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan menjuarai Kejohanan Antarabangsa Slovenia 2021, minggu lepas.

Hon Jian-Ee Wei menewaskan pilihan pertama kejohanan pasangan William Villeger-Sharone Bauer dari Perancis dalam aksi final setelah mencatat kemenangan 16-21, 21-9, 21-19 dalam tempoh 46 minit.

Pasangan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri juga menceriakan skuad badminton negara apabila berjaya mengalahkan Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis dengan keputusan 21-17, 21-15 pada aksi final.

Bagaimanapun, beregu wanita negara, Anna Ching Yik Cheong-Yap Cheng Wen tewas 11-21, 16-21 kepada pasangan Indonesia Ni Ketut Mahadewi Istarani-Serena Kani.

– BERNAMA


Pengarang :