Lee Lam Thye
AGENDANASIONAL

Hospital swasta diminta tidak kenakan caj tinggi kepada pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 23 MEI: Hospital swasta diminta tidak mengambil kesempatan terhadap pesakit Covid-19 yang dirawat dengan mengenakan caj bayaran tinggi.

Tan Sri Lee Lam Thye berkata terdapat laporan berhubung perkara itu dan dianggap sebagai perkara sedih kerana membebankan pesakit.

“Tidak wajar berlaku khususnya ketika musim pandemik ini. Di harap hospital swasta dapat menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu meringankan pesakit wabak ini.

“Cadangan ini bukan niat menunding jari pada sesiapa sebaliknya tidak mahu ada yang menangguk di air keruh dalam usaha menentang Covid-19,” kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat menerusi kenyataan hari ini.

Lam Thye berharap kerajaan dapat membanteras tindakan mana-mana pihak yang cuba menjadikan situasi pandemik sebagai lubuk meraih keuntungan.

Sebelum ini seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor meminta kerajaan menetapkan harga siling ujian Covid-19 di klinik swasta seluruh negara bagi membantu golongan kurang mampu mendapat perkhidmatan itu.

ADN Rawang Chua Wei Kiat berkata kos saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dan ujian pantas polimerase masa nyata (RT-PCR) yang dikenakan ketika ini membebankan rakyat.


Pengarang :