Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Individu lengkap suntikan vaksin masih digalak sertai saringan

SHAH ALAM, 29 MEI: Individu yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin digalak menjalani saringan Covid-19 untuk mengenal pasti tahap kesihatan diri.

Pengurus program Saringan Komuniti berkata ia berikutan golongan tersebut tetap boleh dijangkiti wabak walaupun tiada gejala.

“Jangan sesekali salah faham kerana orang yang ambil vaksin boleh menjadi pembawa dan dapat jangkitan Covid-19.

Dr Atikah Athirah Abdul Wahid. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Vaksin tidak melindungi kita daripada mendapat jangkitan sebaliknya mengelak (jangkitan) ke tahap lebih serius,” kata Dr Atikah Athirah Abdul Wahid pada Saringan Komuniti di Dewan Alamanda, Seksyen 20 di sini semalam.

Beliau turut menyeru rakyat termasuk warga asing memanfaatkan program secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di setiap lokasi ditetapkan sehingga 10 Jun ini.

“Penyertaan terbuka kepada orang ramai tanpa had umur dan peluang harus diambil kerana kita bimbang Covid-19 merebak dalam komuniti,” katanya.


Pengarang :