ADN Batu Tiga Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas meninjau Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Individu diuji negatif Covid-19 jangan lalai, patuh SOP

SHAH ALAM, 28 MEI: Individu diuji negatif hasil Saringan Komuniti Covid-19 diingatkan terus berwaspada bagi mengelak jangkitan wabak, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga.

Rodziah Ismail berkata masyarakat mesti mempraktikkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri sepanjang masa.

“Diri kita mungkin bebas Covid-19 dalam tempoh 10 hari, tetapi jangan lalai kerana ada kemungkinan kita dijangkiti selepas tempoh itu.

“Saya menggesa masyarakat ambil langkah ketat dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), elak keluar rumah jika tiada urusan penting,” katanya.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri ditemui selepas meninjau saringan secara percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Alamanda, Seksyen 20 hari ini.

Tambah Rodziah seramai 4,000 individu mendaftar awal menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk menyertai program saringan di DUN Batu Tiga.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang boleh mengesan jangkitan dalam tempoh kurang 30 minit.


Pengarang :