Usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor (tiga, kiri) dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail (dua, kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada 20 Mei 2021 atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isu rentas negeri Neelofa, suami diserah ke Pejabat Peguam Negara

SHAH ALAM, 22 MEI: Polis menyerahkan kertas siasatan kesalahan rentas negeri pasangan selebriti Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail kepada Jabatan Peguam Negara semalam.

Ketua Polis Nilai Superitendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata sebarang keputusan selaras dengan fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Kelmarin pasangan berkenaan dituduh di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan gagal mengimbas aplikasi MySejahtera atau melakukan pendaftaran manual di premis Naeem Carpet Sdn Bhd, Nilai.

“Muhammad Haris juga dituduh tidak memakai pelitup muka sewaktu berada di premis itu. Bagaimanapun kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Isu rentas negeri pasangan berkenaan ke Nilai pada 2 Mei lalu menimbulkan persoalan warga maya selepas tiada tindakan dikenakan.

Neelofa turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A)225/2021] kerana hanya mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban kelmarin.


Pengarang :