Jemaah menunaikan solat sunat tarawih dalam norma baharu dengan melakukan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka bagi mengekang penularan Covid-19 ketika tinjauan di Masjid Sultan Abdul Samad Sungai Raba, Banting pada 12 April 2021. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais hadkan bilangan jemaah masjid, surau di kawasan PKP

SHAH ALAM, 5 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengehadkan bilangan jemaah bagi solat fardhu, Jumaat dan tarawih di enam daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok.

Melalui edaran kepada pengurusan masjid dan surau, tindakan itu dibuat sebagai langkah mengekang gelombang keempat penularan Covid-19 dalam negeri ini.

Ketetapan seperti berikut:

1) Solat fardhu:
– 50 jemaah termasuk pentadbir di surau kariah dan surau solat Jumaat
– 100 jemaah termasuk pentadbir di masjid kariah dan masjid pengurusan
– 200 jemaah termasuk pentadbir di masjid institusi, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah dan Masjid Tengku Ampuan Rahimah

2) Solat Jumaat:
– 50 jemaah termasuk pentadbir di surau solat Jumaat
– 100 jemaah termasuk pentadbir di masjid kariah dan masjid pengurusan
– 200 jemaah termasuk pentadbir di masjid institusi
– 500 jemaah termasuk pentadbir di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah dan Masjid Tengku Ampuan Rahimah

3) Solat tarawih:
– 50 jemaah termasuk pentadbir di surau kariah dan surau solat Jumaat
– 100 jemaah termasuk pentadbir di masjid kariah dan masjid pengurusan
– 200 jemaah termasuk pentadbir di masjid institusi
– 500 jemaah muslim termasuk pentadbir dan 100 muslimat di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah dan Masjid Tengku Ampuan Rahimah

Bagaimanapun, jumlah jemaah bagi daerah Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kekal.

Jais turut membenarkan aktiviti masjid dan surau mengikut ketetapan antaranya dilarang memanggil atau menjemput individu dari luar daerah bagi program kuliah dan tazkirah Jumaat.

Sementara itu, agensi tersebut akan memaklumkan dalam masa terdekat berhubung ketetapan khusus bagi solat sunat Aidilfitri.

Bermula esok, Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan PKP hingga 17 Mei.


Pengarang :