Umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 31 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais kesan jemaah langgar SOP, dirikan solat Jumaat tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 17 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan beberapa pengurusan masjid dan surau di negeri ini yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya berkata pelanggaran SOP seperti bilangan jemaah melebihi had, tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan dikesan menerusi pemantauan pasukan pegawai penguat kuasa agama bermula 12 Mei lalu.

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata terdapat juga aduan jemaah mendirikan solat Jumaat di premis tidak dibenarkan yang melanggar Seksyen 97, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2018.

“Jais mengambil sikap memberi nasihat dan teguran secara baik pada peringkat ini. Bagaimanapun, tindakan tegas akan dilakukan sekiranya pelanggaran SOP masih berlaku pada siri pemantauan berikutnya.

“Tindakan ini demi kemaslahatan dan kesejahteraan umat Islam serta seluruh masyarakat di Selangor,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau mengingatkan umat Islam di Selangor tidak membandingkan langkah diambil Jais dengan negeri lain memandangkan situasi dan latar penularan Covid-19 sangat berbeza.

Katanya, keputusan dibuat mendapat nasihat pihak berwajib terlebih dahulu dan selepas diperkenankan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Jais amat memahami keperluan serta keutamaan masjid dan surau untuk terus bergiat aktif sebagai pusat ibadah umat Islam setempat.

“Namun dalam menggerakkan masjid sebagai fungsi kesatuan ummah, ahli jemaah diminta janganlah menunjukkan tindakan tidak bijak apabila menentang penguatkuasaan SOP pentadbir masjid dan surau.”


Pengarang :