Orang ramai perlu membuat pemeriksaan suhu badan sebelum membuat pendaftaran Saringan Komuniti Covid-19 bersasar secara percuma di Dewan Komuniti Taman Muda, Ampang pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 di Selangor sedikit turun, catat 1,149 kes

SHAH ALAM, 10 MEI: Kes baharu Covid-19 di Selangor kekal mencatatkan empat angka iaitu 1,149 menurun berbanding 1,278 yang dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri ini merekodkan angka harian tertinggi dalam negara iaitu 826 kes berpunca daripada saringan kontak rapat.

“Jumlah ini termasuk 29 kes kluster, satu kes import dan 293 daripada lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan lima kluster baharu dikesan iaitu kluster Balakong Jaya Tiga, kluster Jalan Raja Musa, kluster Desa Kemuning, kluster Jalan Haji Alias dan kluster Jalan Jurutera.

Dr Noor Hisham berkata terdapat empat kematian dilaporkan membabitkan lelaki warganegara berusia lingkungan 48 hingga 72 tahun.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) pula memaklumkan sebanyak 825 pesakit pulih menjadikan keseluruhan sembuh adalah seramai 138,997.

“Kes aktif yang sedang dirawat sebanyak 4,976 dengan 14 daripadanya membabitkan jangkitan luar negara,” katanya menerusi Facebook.

Keseluruhannya, Selangor merekodkan 144,419 kes positif dengan 432 maut disebabkan wabak tersebut.


Pengarang :