Kakitangan berpakaian lengkap peralatan perlindungan diri membawa sekumpulan pekerja asing menaiki bas ke kemudahan kuarantin kerajaan setelah diuji positif Covid-19 di asrama Westlite Woodlands, Singapura pada 22 April 2021. Foto REUTERS
BERITA UTAMASELANGOR

Jangkitan Covid-19 di Selangor terus naik, catat 1,722 kes

SHAH ALAM, 8 MEI: Jangkitan baharu Covid-19 di Selangor meningkat kepada 1,722 kes hari ini berbanding 1,424 yang dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri ini kekal merekodkan angka harian tertinggi dalam negara dengan 1,165 kes dikesan hasil saringan kontak rapat.

“Jumlah ini termasuk 163 kes daripada kluster-kluster dan 394 kes lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah dua kluster baharu turut dikesan iaitu kluster Jalan Lima Puluh Satu di Petaling dan kluster Jalan Padang Golf di Hulu Selangor, masing-masing membabitkan tempat kerja.

Sementara itu, Noor Hisham berkata empat lagi kematian dilaporkan membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 54 hingga 74 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) pula memaklumkan sebanyak 1,329 pesakit sembuh dicatat hari ini dengan keseluruhan pulih 137,092.

“Kes aktif yang sedang dirawat sebanyak 4,479 dengan 10 daripadanya membabitkan jangkitan luar negara,” katanya menerusi Facebook.

Keseluruhannya, Selangor merekodkan 141,992 kes positif dengan 421 maut ekoran wabak berkenaan.


Pengarang :