Juwairiya Zulkifli, Maria Chin Abdullah dan Team Selangor ketika melawat Ain Husniza Saiful Nizam di Puncak Alam pada 30 April 2021. Foto Juwairiya Zulkifli
AGENSISELANGOR

Jenaka rogol: Team Selangor bakal laksana program pendidikan

SHAH ALAM, 2 MEI: Kerajaan Negeri melalui Team Selangor akan melaksanakan program pendidikan dan kesedaran dalam kalangan pelajar berhubung hak keselamatan peribadi bagi mengelak menjadi mangsa salah laku jenayah.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar berkata banyak isu berkaitan buli siber, pedofil, gangguan seksual dan mengejek fizikal yang selama ini berlaku dengan pelajar sekolah menjadi sasaran.

“Team Selangor diwujudkan untuk memperkasa belia dan menjalankan aktiviti kesukarelawan, maka mereka bersetuju bekerjasama dengan adik Ain Husniza Saiful Nizam (pelajar perempuan yang membuat pendedahan berhubung kes seorang guru lelaki didakwa membuat jenaka berbaur lucah).

“Kita bawa program ini supaya lebih ramai anak muda mengetahui hak mereka untuk melindungi diri dan bersuara mencegah isu berkaitan kerana mangsa bukan hanya perempuan sebaliknya boleh berlaku kepada lelaki,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Wakil rakyat Bukit Melawati menambah pihaknya akan meneliti bentuk pelaksanaan program mengikut kesesuaian sama ada secara fizikal, forum dalam talian atau bicarawara.

Jumaat lalu, beliau bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menziarahi Ain di kediamannya di Puncak Alam selain menghadiahkan tiga naskah buku Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Pada 24 April, pelajar 17 tahun itu menerusi video di aplikasi TikTok berkata seorang guru lelaki membuat jenaka lucah semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan seolah-olah menggalak jenayah rogol selain memaklum pelajar lelaki patut menyasarkan orang berusia 18 tahun sekiranya mahu berbuat demikian.

Antara kritikan paling banyak diterima adalah dia terlalu emosi dan wajar menyelesaikannya secara dalaman dengan pihak sekolah namun rata-rata mengecam tindakan keterlaluan guru berkenaan.


Pengarang :